U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), syarikat telco yang paling pesat berkembang di Malaysia telah mengumumkan inisiatif usahasama eksklusif dengan AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) bagi kemudahan pembiayaan untuk para pelanggan mendapatkan telefon pintar iPhone.
Skim pembiayaan yang dinamakan “U MicroCredit” ini memberi peluang kepada para pelanggan yang berminat untuk mendapatkan iPhone menerusi pelan pembayaran mudah fleksibel dengan AEON Credit, sehingga tempoh 36 bulan. Menerusi skim ini, pelanggan berpeluang memilih pelan pembiayaan sepenuhnya bagi pembelian iPhone dengan kadar faedah serendah 1.1% sebulan.
“Skim pembiayaan U MicroCredit iPhone ini selaras dengan falsafah AEON Credit yang memberi dokongan gaya hidup pelanggan serta membolehkan setiap pelanggan memaksimumkan peluang berbelanja menerusi kemudahan kredit yang sangat efektif. Usahasama dengan U Mobile membolehkan pelanggan memiliki iPhone yang terkemuka dengan kualiti dan inovasi dalam bidang telefon pintar.
“Skim U MicroCredit ini, selain menawarkan pembayaran fleksibel yang mudah sehingga tempoh bayaran balik 36 bulan, ianya tidak memerlukan pembayaran pendahuluan atau deposit, bahkan boleh diluluskan dengan kadar yang cepat kepada pelanggan yang layak serta mematuhi syarat dan terma tertentu. Pelanggan yang berminat boleh memohon skim ini secara dalam talian, iaitu dalam suasana yang selesa dari rumah masing-masing atau di cawangan U Mobile terpilih dan U Mobile Premium Dealers,” jelas Pengarah Urusan AEON Credit, Kenji Fujita.
Pelan U Mobile iPhone 6s dianggap antara pakej pilihan di pasaran hari ini. Dengan usahasama terbaru ini juga, pelanggan boleh menikmati skim pelan i40, iaitu memiliki sebuah iPhone 6s 16GB dengan hanya membayar ansuran serendah RM148.80 atau iPhone 6s Plus 16GB dengan ansuran RM165.80 selama tempoh 36 bulan tanpa sebarang pendahuluan.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan U Mobile, sila layari http://www.u.com.my/ atau untuk mengetahui lebih dekat tentang U MicroCredit, sila kunjungi http://u.com.my/umicrocredit. Bagi mendapatkan maklumat mengenai AEON Credit, kunjungi http://www.aeonmalaysia.com.my/.