Umumnya, Kanser atau Barah adalah sejenis penyakit yang membunuh secara senyap. Ketumbuhan yang membesar dari masa ke masa sehingga menjejaskan organ dan fungsi tubuh itu adalah di sebabkan pertumbuhan sel dalam badan secara luar biasa, di mana ianya berpotensi untuk menyerang serta merebak keseluruh bahagian tubuh yang lain.
Bagi penghidap kanser sendiri, sebaik sahaja mereka mengetahui yang diri mereka diserang penyakit kritikal itu, hidup mereka bagaikan melayang dan tiada apa lagi harapan yang mampu digapai. Umpamanya, hidup mereka telah berhenti secara tiba-tiba kerana tidak mustahil bila-bila masa sahaja nyawa mereka harus dibiarkan pergi tanpa kerelaan hati.
Tetapi berlainan pula dengan cerita seorang wanita jelita ini. Choo Mei Sze, 29, adalah antara pesakit kanser usus yang termuda di Malaysia. Dirinya telah dikesan menghidap barah usus tatkala umurnya seawal 27 tahun setelah beberapa ketika berdepan dengan cirit-birit sehingga terdorong untuk pergi berjumpa pakar perubatan bagi menjalankan ujian kolonoskopi yang membolehkan doktor melihat keadaan usus besar dalam badan.
Kata orang, Kanser atau Barah ini adalah sejenis penyakit keturunan, sebaliknya, mimpi ngeri yang berlaku ke atas diri Mei Sze ini menguatkan lagi fakta bahawa walaupun ahli keluarganya tiada seorang pun merupakan pesakit Kanser, dirinya masih berpeluang besar untuk diserang penyakit berkenaan.
Untuk pengetahuan anda, Kanser Usus adalah jenis Kanser kedua berbahaya selepas Kanser Payudara. Hanya 10% kes Kanser Usus menyerang mangsa yang berumur bawah dari 50 tahun.
Selepas Mei Sze berjaya mengharungi 2 kali pembedahan yang disebabkan komplikasi termasuk pembuangan rektum miliknya sepanjang 12cm (bahagian usus paling hujung), akhirnya beliau tampil memberanikan diri, membuka cerita tentang pahit getir pengalaman diri sebagai pesakit Kanser. Tanpa beliau sedari, sebenarnya cerita yang dikongsi melalui blog peribadi itu secara tidak langsung telah memberi harapan serta impak positif kepada warga lain yang senasib dengannya untuk tabah meneruskan hidup.
Kini, bermulalah norma baru untuk Mei Sze setelah hampir 1 setengah tahun bebas daripada kecaman Kanser, namun beliau masih lagi berada dalam lingkungan proses pemulihan.
Menurutnya, dia pernah kehilangan semangat dan berasa keseorangan tatkala bersabung nyawa untuk berdepan dengan keadaan genting itu dahulu, terutamanya ketika dia perlu memakai beg kolostomi ke mana sahaja dia pergi. Keadaan dirinya selepas pembedahan adalah bagai suatu penyiksaan.
Sekarang, dirinya yang baru telah lahir untuk jadi yakin diri meneruskan hidup di samping motivasi moral dan sokongan dari ahli keluarga serta suami tercinta dan dari situlah bermulanya espisod baru dalam hidup sehingga mendorong dirinya untuk mewujudkan web siri yang digelar “A New Norm”.
Manakala #ShareStrength pula adalah satu gerakkan yang dilakukan sebagai inisiatif untuk melebarkan getaran positif, bukan sahaja fokus kepada para pesakit Kanser, malah juga bagi sesiapa yang sedang dirundung kesedihan atau ketakutan, untuk sama-sama berkongsi cerita serta pengalaman.
Kisah hidup Mei Sze telah menyentuh ramai hati pembaca setia laman blog peribadinya dan dirinya sedar bahawa ramai individu di luar sana yang tidak lokek memberi sokongan jitu kepada dirinya selain keluarga dan suami. #ShareStrength akan terus memberi impak positif terhadap mereka yang memerlukan.
Bukan itu sahaja, kepada sesiapa yang berniat untuk berkongsi cerita pengalaman pertarungan hidup anda, anda boleh meninggalkan pesanan kepada Mei Sze supaya beliau boleh membantu untuk muat naik cerita anda itu di laman blognya atau secara ringkas, anda boleh gunakan hashtag #ShareStrength di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter.
Jangan lupa saksikan “A New Norm”, sebuah siri web 5 episod yang memaparkan kisah benar kehidupan Mei Sze -seorang wanita berjiwa besar, berani melawan kanser usus di kala umurnya baru sahaja menjangkau 27 tahun di meisze.com, setiap hari Khamis bermula 28 Januari 2016 hingga 25 Februari 2016 pada jam 8pm.
Ayuh sertai komuniti #ShareStrength hari ini! Anda mungkin mengubah kehidupan orang lain untuk menjadi lebih baik 🙂
Instagram Mei Sze: www.instagram.com/choomeisze
Facebook Mei Sze: www.facebook.com/choomeisze