Seperti biasa, setiap kali tiba musim perayaan, iklan di kaca televisyen pasti menjadi tumpuan. Lebih-lebih lagi iklan Petronas boleh dikatakn sering ditunggu-tunggu dan mendapat pujian masyarakat umum.
Semalam, secara rasmi iklan Petronas sempena Tahun Monyet yang berjudul Rubber Boy telah ditayangkan kepada umum. Biarpun dalam iklan tersebut tidak kelihatan suasana kemeriahan tahun baru, namun jalan ceritanya sangat menyentuh hati.
Mengisahkan seorang budak Cina bernama Ah Fook yang hidup bersama ibu yang bekerja sebagai seorang penoreh getah. Oleh kerana keluarganya miskin, dia merasa malu bila berada di kalangan rakan sekolah. Bukan sahaja sering dibuli oleh segelintir murid yang nakal, malah dipanggil sebagai “Budak Getah”, akibatnya dia telah bergaduh dengan kumpulan murid nakal terbabit.
Ah Fook turut bertengkar dengan ibunya ketika pulang ke rumah, dia menyalahkan ibunya yang tidak pandai mencari duit sehingga dia dihina oleh rakan di sekolahnya. Selain itu, akibat geram dengan ibunya, dia berjanji dengan ibunya untuk keluar bersama pergi menoreh getah semata-mata untuk menunjukkan dia juga mampu mencari wang untuk keluarganya.
Tetapi, ketika berada di ladang getah, baru Ah Fook sedar kerja menoreh getah bukan semudah seperti mana yang selama ini disangkakan, namun ibunya tetap melakukannya tanpa kesal dan mengeluh, pengorbanan ibunya selama ini semata-mata adalah demi kebahagiaannya.