Demam Tahun Baru Cina masih belum reda, sampai ada yang mengambil peluang ini untuk sambung bercuti demi menghabiskan sisa-sisa sambutan perayaan bersama dengan keluarga tercinta.
Tidak seperti dahulu, masyarakat kini lebih cenderung untuk menghabiskan masa terluang dan memanfaatkan cuti untuk melancong ke tempat-tempat menarik. Meskipun ramai di antara kita yang jelas berpandangan bahawa bercuti di luar negara itu lebih menyeronokkan, tidak kurangnya juga apabila bercuti di tanah air sendiri.
Apa yang anda tidak tahu, sebenarnya terdapat beratus-ratus kawasan dan tempat menarik untuk diterokai di Malaysia. Tetapi persoalannya kini, di manakah destinasi yang harus anda tuju itu?
Oleh itu, dengan adanya bantuan daripada enjin pencarian pelancongan global Skyscanner yang akan menghidangkan anda dengan seleksi destinasi percutian yang hebat, perancangan percutian idaman anda bersama dengan keluarga pasti lebih mudah dan lancar, sekaligus menjanjikan pengalaman percutian yang begitu menyeronokkan!
Di sini, Skyscanner menyahut kempen ‘Go Domestic’ yang yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menggalakkan masyarakat umum bercuti dalam negara.
Khas buat para pembaca Wanista, Skyscanner akan membongkar beberapa lokasi percutian dalam negara yang paling terkemuka untuk menerima kunjungan anda sepanjang 15 hari musim Tahun Baru Cina 2016. Nikmati perjalanan dari satu kota ke kota yang lain dengan pelbagai tarikan yang pasti anda kagumi.
KUALA LUMPUR (21% carian penerbangan)
Kuala Lumpur dikenali kerana kemegahan bangunan pencakar langit serta pelbagai cawangan membeli-belah yang sedang membangun pesat, sesungguhnya daerah ini yang kaya dengan pelbagai jenis tarikan budaya mampu menawarkan keseronokkan berganda.
Kecapi aura sambutan Tahun Baru Cina dengan mengunjungi Chinatown di Petaling Street untuk melihat sendiri pelbagai barangan serta kraf yang boleh anda jadikan koleksi peribadi sebagai memori terindah. Sebelum pulang, pastikan anda singgah di Thean Hou Temple iaitu tempat terletaknya candi Cina yang terbesar di Asia Tenggara, dibina oleh bangsa Hainan untuk memperingati Dewi Thean Hou (Dewi Syurga).
LANGKAWI (18% carian penerbangan)
Digelar sebagai ‘Permata Kedah’ dan dianggap bakal menjadi tumpuan pelancong di masa hadapan sebagai negara ‘Monaco Timur’, Langkawi mempunyai daya tarikan tersendiri yang bisa mendapat hati para pengunjung dan pelancong dari segenap dunia dek kerana pepasir pantai putihnya, air laut yang jernih serta pemandangan hutan hujan yang menawan.
Pada tahun 2007, UNESCO secara rasmi telah mengisytiharkan nusantara Langkawi sebagai salah satu daripada 94 taman geologi (Geopark) dari 27 buah negara untuk diluluskan kerana kecantikkan alam semula jadi, harmoni dari segi ekologi dan arkeologi, geologi serta kepentingan budaya.
Ceriakan diri anda pada musim perayaan ini untuk menikmati keindahan alam semula jadi bagi mencipta sebuah memori yang paling berharga bersama dengan rakan-rakan atau yang tersayang. Ayuh terokai syurga ini!
Buat anda yang baru pertama kali melancong ke Langkawi, jangan lupa untuk menaiki kereta kabel serta bersiar-siar di Pantai Chenang yang terkenal! Anda boleh juga menyertai aktiviti menyelam skuba ketika membuat lawatan ke Taman Marin Pulau Payar.
PULAU PINANG (13% carian penerbangan)
Pulau Pinang itu sendiri telah mencerminkan kepelbagaian warisan bangsa dan kemegahan masyarakat Malaysia. Selain itu, destinasi yang ini turut dikenali sebagai syurga makanan kerana terdapat banyak pilihan makanan menarik yang terdiri daripada masakan dan hidangan pelbagai budaya, di samping pemandangan pulau yang cantik dan mercu ikonik seperti jambatan Pulau Pinang.
Bukan itu sahaja, ibu negara George Town bakal membawakan kepada anda memori bersejarah seperti monumen dan bangunan bersejarah zaman sebelum perang.
Alang-alang dah sampai Pulau Pinang, ambil masa untuk bersantai sambil berjalan kaki di sekitar pekan lama. Anda akan dapat lihat lukisan artistik dan mural menghiasi dinding bangunan rumah kedai lama oleh Ernest Zacharevic dan para pelukis tanah air yang lain. Singgah juga di candi Kek Si Lok di mana anda bisa menikmati ukiran indah, binaan dan mural di sekeliling ruang dalam dan luar dewan candi, pagoda serta pintu gerbang.
KOTA KINABALU (12% carian penerbangan)
Kota Kinabalu yang terletak di kepulauan Borneo adalah pintu utama untuk menjejaki Taman Negara Kinabalu. Taman ini mempunyai titik ketinggian 13,400 kaki Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia yang selalu menjadi matlamat untuk para pendaki tegar.
Kunjungi Gaya Street dan Lintasan Deasoka untuk dihiburkan dengan persembahan kebudayaan sambil membeli cenderamata untuk dibuat ole-ole.
Selain itu, anda boleh memanjangkan lawatan anda dengan meneroka Menara Jam Atkinson, Memorial Perang Kota Kinabalu, Jesselton Pier dan banyak lagi!
Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.skyscanner.com.my untuk membuat seleksi percutian yang tepat lagi menyeronokkan di musim perayaan ini!