Burberry telah mengedarkan koleksi Pakaian Wanita Februari 2016 kepada 21 buah kedai pemangku utama jenamanya. Ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai dan para peminat Burberry sendiri untuk menilai, melihat dan seterusnya membuat tempahan pra serta menambah sentuhan peribadi pada helaian yang telah dipamerkan di atas pentas peragaan kelmarin.
Koleksi terbaru daripada Burberry yang digelar sebagai “A Patchwork” itu telah menjadi tatapan umum pada kemunculan khas yang bertempat di Kensington Gardens, London. Tidak ketinggalan, peragaan istimewa itu turut diiringi persembahan dari ahli muzik British terkemuka yang pernah merangkul anugerah berprestij, Jake Bugg.
Lebih kurang 1000 tetamu yang diundang hadir bagi memriahkan majlis, termasuklah selebriti yang menjadi muka kempen Burberry seperti Naomi Campbell, Rosie Huntington-Whiteley, Suki Waterhouse, Bella yenton dan ramai lagi.
Berbalik kepada butiran koleksi “A Patchwork” berkenaan , ia adalah terdiri daripada koleksi beg yang rekaannya diinspirasi dari tali pinggang yang lazimnya menjadi penyrei untuk rekaan trench coat ikonik Burberry. Kesemua koleksi beg itu direka dan diberi nama secara individual.
Bukan itu sahaja, koleksi itu juga terdapat dalam pilihan pelbagai variasi warna menarik, tekstur, fabrik dan perincian. Setiap satunya menampilkan kancing yang digilap dan bisa dipakai di bahu mahupun secara silang. Tambahan pula, ia boleh dijadikan beg gengam sebagai aksesori menghadiri acara glam ringkas.
Khas buat anda semua, Burberry memberi peluang kepada pelanggannya untuk memilih rekaan eksklusif untuk beg berkenaan di mana, anda bisa memberi sentuhan peribadi keatas beg pilihan anda dengan menambah sehingga 3 huruf, mengikut cita rasa anda.
Palet warna yang menghiasi segenap koleksi khas ini adalah termasuk merah terang, biru nilam, hijau tentera, hitam, kuning mustard, biru lembut, metalik hijau-kebiruan, kelabu besi dan biru navy.
Reka bentuk pakai pula adalah berasaskan pelbagai jenis kot dan jaket. Terdapat juga dress dan skirt yang menyisipkan ciri cantuman kain perca, hiasan lipatan, potongan singkat pada helaian seluar ala tentera serta potongan seluar kembang.
Secara keseluruhan, koleksi Pakaian Untuk Wanita Februari 2016 oleh Burberry ini adalah hasil cetusan kreatif pereka yang menggabungkan pelbagai perincian serta gaya bagi menonjolkan sifat maskulin dan artistik yang eksentrik kepada si pemakai.
Sila layari my.burberry.com untuk keterangan lanjut berkenaan koleksi terkini Pakaian Untuk Wanita Februari 2016 Burberry.