Pihak berkuasa Indonesia berjaya mengesan sebuah ladang ganja seluas 54 hektar di satu kawasan hutan terpencil wilayah Aceh yang dipercayai terbesar pernah ditemui di negara itu.
Jurucakap polis, Anton Charliyan berkata, ladang ganja itu terletak di satu kawasan gunung di Lamteuba di daerah Selawah berhampiran Desa Lamteuba di Aceh Besar.
“Ini mungkin ladang ganja terbesar yang pernah ditemui di Indonesia,” katanya kepada wartawan ketika melawat ladang berkenaan kelmarin.
Untuk sampai ke lokasi, wartawan bersama pihak berkuasa menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum terpaksa berjalan kaki meredah hutan tebal selama dua jam.
Kata Anton, susulan penemuan itu polis menahan seorang lelaki dan mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam aktiviti itu.
“Kami percaya ganja ini diproses dan diedarkan untuk pasaran dalam dan luar negara,” jelasnya.
Sementara itu, ketua polis daerah Aceh, Mochamad Husein Hamidi memberitahu, pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengawal aktiviti penanaman ganja berkenaan.
“Pokok ganja biasanya di tanam di kawasan hutan terpencil dan bergunung-ganang menyebabkan ia sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
“Setiap kali apabila ladang ganja ini ditemui dan dimusnahkan, mereka akan kembali dan menanam ia semula,” katanya.
Menurutnya, pemantauan paling berkesan adalah melalui udara, tetapi pihak polis di wilayah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan berkenaan.
“Kami memohon kepada pemerintah untuk mendapatkan helikopter supaya dapat memantau kawasan hutan dengan lebih berkesan,” jelasnya. -Agensi