Bakal merubah sektor pelancongan dan hospitaliti tanah air, Trendi kini mengatur langkah sulung dengan menguntai kerjasama rumpun bersama dengan rakan hotelnya Dorsett Kuala Lumpur.
Trendi adalah kemudahan teknologi, membolehkan para pelancong yang menginap di hotel tertentu untuk menggunakan servis telefon pintarnya demi mendapatkan sambungan liputan internet secara konsisiten, di samping para pengguna juga boleh membuat panggilan dan berhubung melalui SMS ke luar negara pada bila-bila masa dan di mana jua.
Ia bakal menyalurkan suatu fasiliti yang digelar Trendi Travel -mampu merubah lanskap pasaran pelancongan di Malaysia dengan membekalkan servis kemudahan melalui inovasi teknologi terkini ciptaan Malaysia dan yang pertama di dunia.
Trendi Travel adalah sebuah platform pelancongan utama yang berada di bawah naugan Zuger International. Dalam masa yang sama, ia bertujuan untuk menyediakan pengalaman melancong terbaik kepada para pengunjung dari luar negara ke Malaysia dan di sekitar Asia Tenggara.
Ini sekaligus bisa membantu para pelancong yang datang ke Malaysia mendapat liputan perhubungan ke seluruh negara secara menyeluruh dan lancar menggunakan teknologi janaan yang diberi nama IPPBX sebagai aplikasi pelancongannya, di samping menarik pengiklan mudah alih dan mempromosikan penggunaan telefon pintar secara percuma.
Dalam pada itu, Alvin Koh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trendi Travel menjelaskan, bagi melengkapi keperluan melancong individu masa kini, Trendi berasa terpanggil untuk menjadikan pengalaman melancong dalam mahupun luar negara sebagai sesuatu yang lebih menyeronokkan, memudahkan serta menepati jangkaan.
Aplikasi Trendi Travel Mate ini berupa telefon mudah alih yang dilengkapi sambungan 3G membolehkan pengguna membuat panggilan serta SMS. Ianya adalah percuma untuk kegunaan tetamu yang menyewa penginapan di hotel berkenaan.
Memandangkan tablet dan telefon pintar adalah gajet yang agak sukar dimanfaatkan ketika melancong, ditambah pula dengan servis liputan internet seperti WiFi yang kadang-kala tidak berfungsi dengan baik, kelahiran Trendi ini sedikit sebanyak boleh menjadi jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan klise itu tatkala seseorang berada di perantauan.
Sebagai hotel pertama yang dikenali sebagai “Hotel Telefon Pintar”, Dorsett Kuala Lumpur amat berbangga untuk bekerjasama denga Trendi dalam menyebarkan kemudahan umum yang terbaik kepada para tetamu antarabangsanya. Projek kolaborasi ini dianggap sebagai sesuatu yang strategik -mampu membangunkan sektor pelancongan negara secara berperingkat.
Untuk pengetahuan anda lagi, servis pengangkutan terkemuka di Asia Tenggara, Grab (atau dulu sebagai My Teksi) turut saling bekerjasama dengan Trendi dan Dorsett Kuala Lumpur dalam menyediakan perkhidmatan tambahan untuk para pengguna Trendi bagi memudahkan mereka untuk mengembara.
“Sebagai pelancong yang ghairah, kami komited untuk memberikan yang terbaik kepada para pelancong. Bukan itu sahaja, malah kami ingin membuktikan kepada pengunjung luar bahawa hotel di Malaysia juga mampu menyediakan perkhidmatan hospitaliti bertaraf lima bintang!”, tambah Alvin.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dorsetthotels.com