Bersempena dengan musim Luruh/Sejuk 2016-2017, jenama fesyen tersohor yang sering mengetengahkan inspirasi rekaan fesyen unik dan bergaya, Moschino tampil memperkenalkan koleksi Kapsul terkininya yang digelar “IT’S LIT”.
Selepas beberapa ketika rekaan pakaian serta aksesori yang diinpirasi dari makanan ringan mendapat sambutan dari pelbagai golongan peminat tegar fesyen seantero dunia, untuk musim ini, Pengarah Kreatif Moschino, Jeremy Scott mula mengatur langkah untuk mewujudkan suatu keseronokkan berganda dengan menggunakan perbuatan merokok sebagai tema utama rekaan baharunya.
Oleh itu, ianya digelar “It’s Lit” yang merujuk kepada perbuatan menyalakan api rokok. Moschino bijak menyampaikan mesej yang diputar sedikit maksudnya agar kelihatan lebih provokatif melalui setiap helaian unik itu.
Kebanyakkan helaian pakaian yang dihimpun dalam koleksi kapsul Moschino “It’s Lit” telah menyunting karakter animasi “smoking cow” dan cetakan bibir merokok bagi menghiasi rekaan polos monokromnya.
Jika berminat, anda boleh mula mendapatkan koleksi kapsul Moschino “It’s Lit” bagi musim Luruh/Sejuk 2016-2017 di semua butik Moschino, termasuk yang terletak di Milan, Rome, London, Paris, New York dan Los Angeles, di laman sesawang rasmi Moschino sendiri, mahupun rangkaian francais yang menyenaraikan jenama fesyen popular antarabangsa iaitu Net-A-Porter.
Untuk maklumat lanjut berkenaan koleksi terkini Moschino, sila layari www.moschino.com/my