Sekolah bukanlah sebuah institusi yang menyampaikan ilmu akademik semata-mata, malah dari segi umumnya, sekolah juga merupakan titik permulaan seseorang untuk meneroka sesuatu yang baru dalam merubah sudut pandangan ke arah yang lebih positif serta berdaya saing. Begitulah juga moto utama gedung membeli-belah terkemuka tempatan The School by Jaya One ini.
Bersempena dengan sambutan tahunan Earth Hour yang mempromosikan kecintaan kita terhadap bumi dan alam semesta pada setiap 19 dan 20 Mac, gedung membeli-belah unik yang berkonsepkan perkongsian ilmu The School by Jaya One bakal menganjurkan satu aktiviti bermanfaat melalui kolaborasi rumpun antara Eco-Schools Training Centre bersama Eco-School Programme oleh WWF Malaysia (World Wide Fund for Nature Malaysia). Ia bertempat di aras bawah di mana orang awam turut berpeluang menyertai pelbagai bengkel pendidikan serta melihat pameran berkenaan kehidupan lestari.
Selain itu, terdapat juga persembahan menarik yang bakal dijayakan oleh selebriti terkemuka tanah air, pilihan gerai makanan dan kem kehidupan mesra alam selama dua hari.
Charles Wong, Pengarah Eksekutif Tetap Tiara Sdn Bhd yang merupakan pemaju Jaya One dan bangunan The School berkata, “Kami begitu teruja untuk membawakan inisiatif berguna ini kepada kalangan keluarga The School”.
“Kami berharap dengan kewujudan pusat latihan ini, kita dapat merubah persepsi serta mentaliti masyarakat betapa pentingnya untuk memberi pendedahan awal kepada generasi muda masa kini supaya mereka kenal dan terbiasa dengan aktiviti kitar semula bahan buangan disamping mendidik mereka untuk memacu dunia ke arah yang proaktif”, tambahnya.
Semua aktiviti terbuka kepada umum dari jam 11 pagihingga 9.30 malam pada hari Sabtu dan 11 pagi hingga 4 petang pada hari Ahad. Khas buat para pencinta alam, jangan ketinggalan untuk memeriahkan serta mendapat manfaat dari acara dua hari ini. Dalam masa yang sama anda bakal memeriahkan deria rasa anda dengan rasa hebat makanan artisanal yang boleh didapati dari trak makanan juadah kegemaran tempatan hinggalah ke pencuci mulut homemade.
Temui selebriti yang bakal menggamatkan suasana pada 19 Mac itu, antara yang turut serta adalah personaliti televisyen Megan Tan, Dina Nadzir, Baki Zainal, Shawn Lee dan ramai lagi! Tidak ketinggalan, tepat jam 8.30 malam pula, lampu akan dipadamkan sekaligus merubah The School menjadi lokasi perkelahan yang gelap-gelita sebagai simbolik sokongan sambutan Earth Hour -gerakan seluruh dunia untuk membangkitkan kesedaran awam berkenaan perubahan iklim dan isu alam sekitar yang dilihat semakin kritikal.
Untuk maklumat lanjut tentang sambutan The School Earth Hour 2016, sila layari theschool.my atau lawati laman Facebook The School di www.facebook.com/theschool.my.