Kekecewaan meraih keputusan kurang memberangsangkan ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun lalu terubat apabila Mohamad Firdaus Mohd Shah dipilih penerima anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum bagi lulusan Jun 2015 sempena Konvokesyen Politeknik Port Dickson kali ke-25 di sini, semalam.
Anak peneroka FELDA Kepis, Kuala Pilah berusia 22 tahun itu meraih 4A daripada sembilan mata pelajaran ketika menduduki SPM, namun berkat usaha gigih serta tidak pernah putus asa mendorongnya dipilih penerima anugerah itu.
Pelajar jurusan kejuruteraan awam itu yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62 berhasrat mahu melanjutkan pengajian di universiti.
“Saya terharu apabila ayah Mohd Shah Bachik, 65, dan ibu Ramlah Bidin, 64, turut diundang menaiki pentas bersama saya menerima anugerah ini. Anugerah ini hadiah kecil daripada saya untuk mereka (ibu bapa).
“Ayah selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh kerana mahu buktikan yang kami anak peneroka juga mampu berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Seorang lagi penerima anugerah itu, P Harshana, 22, berkata, kejayaan itu hasil dorongan ibu bapa.
“Sebagai anak sulung, saya seharusnya menjadi contoh kepada adik-beradik lain. Saya terharu apabila mendapat tahu menerima anugerah ini.
“Kejayaan ini juga hasil dorongan semua pihak termasuk pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.
Majlis semalam menyaksikan seramai 332 pelajar Politeknik Port Dickson menerima Diploma Kejuruteraan Awam dan Senibina lulusan Jun 2015 dan Disember 2015 lalu.
Majlis disempurnakan Undang Luak Sungei Ujung Datuk Mubarak Dohak. Hadir sama Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman dan Pengarah Politeknik Port Dickson Mohd Kharir Mohd Ibrahim.