Butik pakaian Jepun terkemuka tanah air, UNIQLO baru sahaja mengumumkan kolaborasinya menghasilkan rekaan fesyen UT (UNIQLO T-shirts) bercetak bersama pelukis KAWS. Sejak dilancarkan pada tahun 2003, UT berjaya menampilkan aura seni grafik pop, seterusnya menjadi kegilaan anak muda yang gemarkan gaya ranggi serta fesyen ringkas bersahaja.
Sebelum ini pun, UNIQLO turut pernah menjalankan kerjasama dengan pelukis terkenal seperti SPRZ NY dan Shochiku Kabuki. Koleksi baharu KAWS secara tidak langsung menyambut kelahiran gabungan fesyen UT serta budaya pop asli.
KAWS amat dikenali kerana karya agung dirinya yang menghiasi jalan-jalan sekitar kota metropolitan New York. Hari ini, terdapat beberapa muzium dan galeri seni terkemuka di dunia mengumpul hasil-hasil seni bermutu terbaik KAWS atau nama sebenarnya Brian Donnelly, untuk dipamerkan kepada khalayak umum.
UNIQLO begitu komited untuk mengubah pandangan dunia melalui rekaan pakaian yang ditawarkan oleh syarikatnya. UT adalah sebahagian daripada LifeWear, iaitu sebuah konsep diperkenalkan pada tahun 2003 berfungsi bagi meningkatkan gaya hidup individu dengan menyediakan pakaian berkualiti, disertai reka bentuk versatile untuk pemakaian kasual.
Pengarah Kreatif UT, NIGO berkata, KAWS telah sekian lama menjadi sahabat baiknya sejak 20 tahun yang lalu. “Saya berasa sungguh gembira kerana berpeluang menjalankan kerjasama dengan KAWS untuk menghasilkan rekaan UT istimewa bagi tahun 2016 ini”.
“Saya juga yakin, setiap satu rekaan dalam koleksi ini mampu menggambarkan padangan dunia KAWS yang menakjubkan”, tambahnya.
Untuk keterangan lanjut berkenaan koleksi istimewa UT bagi musim Bunga/Panas 2016, sila layari www.uniqlo.com