Bila bercerita tentang tahun baru, ia pasti akan dikaitkan dengan senarai azam atau perkara yang ingin kita lakukan dan selesaikan sepanjang tahun tersebut.
Rata-rata pasangan bercinta mesti selalu bertelagah antara satu sama lain. Tidak kira sama ada punca pertelagahan itu rumit atau remeh sekalipun, pergaduhan sebenarnya mampu memberi impak besar terhadap jiwa dan perasaan individu yang terlibat.
Bagi kembalikan detik-detik manis percintaan anda dan pasangan di samping membuat suatu kelainan dari resolusi tahun baru anda sebelum ini, apa kata Wanista cadangkan beberapa resolusi cinta yang boleh anda dan teman lelaki/wanita cuba capai bersama bersempena permulaan 2017 yang hebat lagi mengujakan!
BACA: TIPS! RUTIN CANTIK UNTUK DIIKUTI SEPANJANG TAHUN 2017
#1 Bersenam Bersama
Gaya hidup sihat dapat mempengaruhi kekuatan dari dalam. Jika tubuh sihat, secara tidak langsung minda akan menjadi tenang dan dikelilingi aura positif. Untuk itu, cuba bersantai sambil lakukan senaman bersama. Dapat merapatkan lagi dua jiwa dengan meluangkan masa bersama secara berfaedah.
#2 Bercakap Sebelum Bergaduh
Janji yang anda dan dia akan jadi lebih terbuka selepas ini. Lebih rela menyatakan isi hati dari menyimpannya sehingga menyakiti diri sendiri. Jangan takut untuk berterus-terang. Jika anda tidak suka, katakan tidak suka. Apabila semuanya diluahkan, lebih mudah untuk selesaikan masalah dan berdamai. Paling penting wahai perempuan, jangan suka tuduh melulu tanpa sebarang bukti.
#3 Keluar “Dating” Sekali Seminggu
Alahai susahnya nak cari masa untuk kelur bersama. Lainlah remaja yang tidak banyak komitmen tu. Bagi kita yang sudah ‘tua bangka’ dan lebih banyak menghabiskan masa setiap hari untuk fokus pada kerjaya ni sukar benar mencari waktu tertentu untuk keluar bersama kekasih, isteri mahupun suami.
Untuk memudahkan, tetapkan satu hari sekali seminggu untuk menghabiskan masa bersama. Terpulang kepada anda sama ada untuk keluar bersantai, beriadah mahupun hanya peruntuk waktu untuk masak bersama di rumah atau bermain PS4 bersama, asalkan sahaja anda mempunyai waktu peribadi untuk bergelak-ketawa bersama. Meskipun sudah mempunyai anak, tidak salah untuk bawa anak-anak bergembira bersama. Lebih harmoni!
#4 Membaca Bersama
Ikut cara orang putih. Ini sebabnya kenapa pasangan barat lebih romantik. Mereka banyak memperuntukan masa bersama melakukan perkara-perkara baru meskipun ia kedengaran remeh. Setiap malam sebelum tidur, cuba amalkan membaca bersama. Cuba pilih tajuk kegemaran anda berdua dan sediki demi sedikit habiskan buku atau novel tersebut mengikut hari. Anda boleh bergilir-gilir membacanya secara lisan (dengan suara).
Kalau rasa membaca itu membebankan, cuba tonton drama bersiri pilihan bersama, antaranya seperti Desperate Housewives, How I Met Your Mother, Friends, Full House atau apa sahaja kegemaran anda!
#5 Berhenti Bangkit Isu Lama
Perempuan terutamanya suka bangkitkan kisah lama seperti isu sensitif mengenai kekasih lama si dia atau mungkin perangai buruk lamanya yang kemudian akan menjadi punca pergaduhan. BERHENTI! Pandang sahaja ke depan, yang sudah tu biarkan berlalu. Mulakan hidup baru okay?
#6 Jadi “Cheerleader”
Kalau selama ini anda tidak pernah menghadiri perlawanan persahabatan bola sepak si dia dan teman-teman, cuba tahun ini anda pergi dan jadi penyokong tegarnya. Pasti dia gembira! Sebagai ganti, ajak dia untuk turut serta dalam kelas memasak anda pada hujung minggu. Kan best tu?
#7 Keajaiban Sentuhan
Yang ini untuk pasangan sudah berkahwin je okay? Sentuhan tidak bermaksud seksual semata. Untuk menghangatkan lagi hubungan anda dan pasangan, cuba lebihkan sentuhan seperti urutan, pelukan, mengusap dan membelai, mahupun ciuman di dahi dan pipi.
#8 Hentikan tabiat Buruk Masing-Masing
Si lelaki sering lupa untuk pam tandas selepas buang air manakala si perempuan pula liat buangkan sampah di luar sehingga berulat di dapur. Mulai dari saat ini, janji antara satu sama lain untuk mula jadi disiplin. Hentikan tabiat buruk dan tegur jika ada diantara anda yang terlupa untuk jadi disiplin.
Tahun baru, perasaan cinta baru buat pasangan tersayang! Selamat beramal!