Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta berkata kepada Astro Gempak mengakui tidak kisah apabila dikatakan menjaja kisah peribadinya dalam program realiti terbaru The House musim ketiga.
“Ramai orang di luar sana yang suka memaparkan kisah peribadi mereka di Instagram, apa sahaja mereka lakukan seperti memasak malah hanya melangkah setapak sekalipun mereka tunjuk dan upload.
“Mereka lakukan semua itu secara percuma tetapi apa yang saya lakukan dalam The House adalah dibayar. Jadi apa salahnya. Lagipun saya bukan buat kerja amal tetapi ini salah satu kerja dan punca rezeki saya.
“Pun begitu saya tidak mendedahkan seratus peratus kehidupan sebenar saya dan keluarga, cuma 40 persen sahaja dan selebihnya saya masih simpan sebagai privasi,” katanya.
The House bakal memaparkan kisah di sebalik kehidupan penuh glamour Che Ta yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan masyarakat umum sebelum ini.
Sementara itu, Che Ta memberitahu dia sudah bersedia menerima tanggapan negatif daripada orang luar selepas kehidupannya menjadi paparan ramai.
“Saya berani terima tawaran ini kerana saya sudah bersedia dengan semua tanggapan orang luar yang akan dilemparkan.
“Saya tak takut dengan semua komen-komen negatif tu kerana kalau kita tak buat apa pun orang masih hendak mengata, jadi baik kita buat apa yang kita rasa terbaik untuk diri kita.
“Saya rasa penonton perlu bersikap terbuka dan jangan anggap kehidupan saya sama dengan mereka,” katanya lagi.
The House juga turut memaparkan ragam dan kisah ahli keluarga Che Ta yang lain seperti Zain Saidin sebagai seorang suami yang romantik yang berusaha keras dalam bidang perniagaan yang diceburi serta tiga cahaya mata beliau termasuk Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sebagai anak bujang Che Ta serta Aaisyah Dhia Rana yang comel yang bijak bergaya.