Hanya kerana papan iklan yang menyiarkan imej kanak-kanak berhijab mengibarkan bendera, satu kumpulan pelampau yang penuh dengan sifat perkauman mengancam merosakkan dan membakar bangunan itu.
Pusat Teater Canberra milik kerajaan itu menaikkan papan iklan besar sempena Hari Australia dengan paparan imej dua gadis Islam memakai hijab dan menyiarkan papan iklan tersebut di laman Facebooknya Isnin lalu, menyatakan ia bangga menonjolkan imej berkenaan.
Namun laporan dari Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) berkata, kumpulan pelampau berhaluan kanan, Respect Australia menggesa ahlinya membuat aduan menyebabkan ratusan komen diterima pihak teater termasuk kenyataan berbaur perkauman dan ancaman bom serta ugutan untuk membakar papan iklan itu dan bangunan berkenaan.
Berikutan itu, teater terbabit bertindak menarik balik kenyataan berkenaan dan semua komen mengenainya juga dibuang.
Bagaimanapun, difahamkan pihak teater itu bertegas untuk terus memaparkan papan iklan itu.
Sementara itu, lebih 168,000 dolar Australia (RM559,000) berjaya dikumpul hasil kempen tajaan orang ramai, bagi membantah dakwaan kumpulan berhaluan kanan itu.
Kempen itu bertujuan membiayai kos menyiarkan semula dan menyebarkan imej papan iklan berkenaan.
Dalam pada itu, pemimpin teater, Andrew Barr, mengumumkan pihaknya menyokong kempen #putthembackup, selain konsep kepelbagaian budaya dengan meletakkan imej berkenaan pada aset kerajaan.