Mayat seorang lelaki ditemui dengan kepalanya terputus dipercayai dilanggar kereta api ETS di Perkampungan Jawi, Sungai Bakap di sini semalam.
“Menurut saksi, mangsa dipercayai maut dilanggar Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) di Kilometer 29.25 landasan berkenaan menghala arah selatan,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad.
Tambahan lagi mayat itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan ditemui penduduk berdekatan pada pukul 5 petang.
Katanya polis yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian menemui kepala mangsa berada 10 meter dari lokasi mayat ditemui.
Beliau berkata terdapat kesan koyak pada pagar di kawasan landasan itu dan dipercayai ia dijadikan sebagai laluan pintas antara Perkampungan Jawi dan Kampung Titi Hitam.
Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta hadir ke hospital itu atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membuat pengecaman, katanya.