Sejak kebelakangan ini, ramai syarikat dan jenama mula menjual dan memperkenalkan minyak wangi tanpa alkohol yang digembar-gemburkan ‘sah’ untuk dibawa ketika solat atau beribadah.
Bagaimanapun, minyak wangi beralkohol pula dipertikaikan kerana kandungan alkohol yang dikatakan akan membatalkan solat seseorang dan boleh dikira najis. Apakah ini fakta yang benar?
Sehubungan dengan itu, ramai yang menjadi keliru termasuk diri penulis sendiri. Adakah minyak wangi atau “perfume” yang kita semburkan pada pakaian dan tubuh setiap hari itu boleh dikira haram? Jika minyak wangi beralkohol dikira haram, begitu juga dengan alat solek yang sering dimanfaatkan wanita, kebanyakannya turut mengandungi alkohol.
Nah, untuk menrungkai tanda tanya semua, ini Wanista kongsikan penjelasannya…
Suatu hari, penulis lalu di hadapan sebuah kaunter yang menjual minyak wangi. Terlihat di dinding sebelah kaunter kedai minyak wangi tersebut ada digantungkan keratan akhbar mengatakan “Minyak wangi yang mengandungi alkohol adalah harus kerana alkoholnya tidak diproses cara penapaian seperti yang terkandung dalam arak serta minuman keras lain.
Menguatkan lagi fakta itu:-
Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
#1 Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun, bukan semua alkohol adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
#2 Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
#3 Minuman ringan yang diproses /dibuat bukan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
#4 Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses mmebuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
#5 Makanan dan minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahn, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
#6 Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalaha harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
#7 Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah bukan najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Kesimpulannya, mana-mana alkohol yang terhasil TIDAK MELALUI PROSES PEMBUATAN ARAK adalah diharuskan penggunaannya. Selain itu, penggunaan alkohol dalam kosmetik dan minyak wangi juga adalah TIDAK MEMABUKKAN sama sekali. Manakala arak yang diharamkan adalah kerana ia boleh menyebabkan mabuk dan hilang ingatan atau akal.
Secara mudah, kosmetik dan minyak wangi yang mengandungi alkohol adalah bukan najis dan harus digunakan umat Islam. Asalkan menepati dua ciri iaitu:-
1. ALKOHOL TERSEBUT TIDAK MELALUI PROSES PEMBUATAN ARAK
2. PERATUSAN ALKOHOL TIDAK MEMABUKKAN / MENGHILANGKAN AKAL
Ingat! Islam itu mudah dan jika anda masih ragu-ragu, tak perlu paksa diri untuk terus memakai minyak wangi beralkohol meskipun wangian beralkohol itu adalah HARUS. Selamat beramal!