Agensi berita Tasnim melaporkan, sebuah Mahkamah Agung Iran menjatuhkan hukuman butakan mata pada seorang wanita sebagai hukuman melakukan serangan asid menyebabkan mangsanya buta satu mata.
Menurut laporan itu lagi sejak Revolusi 1979, undang-undang Syariah Iran membenarkan hukuman pembalasan digelar ‘qesas’ bagi kes membabit kecederaan tubuh namun boleh ditolak oleh mangsa atau keluarganya.
Wanita berkenaan didakwa mencurah asid pada muka mangsanya dikenali sebagai Sima, di Dehdasht, dua tahun lalu.
“Hukuman membutakan satu mata, bayaran kerana hutang darah (pampasan) dan tujuh tahun penjara sudah diputuskan mahkamah,” kata Ketua Hakim, Majid Karami.
Mangsa dan keluarganya akan menentukan sama ada mereka mahu hukuman itu dilaksanakan atau tidak.
Pada 2011, seorang wanita yang buta akibat serangan asid, memberi pengampunannya beberapa jam sebelum lelaki yang menyerangnya dibutakan mata oleh doktor menggunakan asid.
Pertubuhan hak asasi di Iran kini merayu wanita itu dan keluarganya supaya menunjukkan belas kasihan mereka terhadap pesalah.