Rakyat Malaysia yang menetap di Qatar kini boleh menarik nafas lega apabila berita gembira lesen memandu Malaysia secara automatik boleh ditukarkan kepada lesen memandu tempatan.
Hasil pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani, semalam membuahkan hasil apabila berita mengenai itu disampaikan sendiri Dr Ahamd Zahid kepada Sheikh Abdullah Nasser Khalifa.
Walaupun mempunyai lesen memandu di Malaysia, katanya rakyat terpaksa mengikuti latihan dan menjalani ujian memandu dengan alasan pemanduan di Qatar adalah di sebelah kiri.
“Dalam pertemuan itu, saya menyatakan bahawa ada negara lain yang kaedah pemanduan di sebelah kanan, tetapi lesen memandu mereka diterima oleh Qatar secara automatik untuk ditukarkan kepada lesen tempatan.
“Dalam masa lima minit, Perdana Menteri Qatar menghubungi dan mengarahkan pegawai berkaitan supaya meluluskan permintaan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di sini, malam tadi.
Dr Ahmad Zahid berkata, hubungan baik dengan Qatar menyebabkan permintaan itu diluluskan tanpa perlu dilakukan secara rasmi atau melalui perjanjian persefahaman.