Sejak akhir-akhir ini ramai pihak pembekal terutamanya peniaga langsung tidak peka akan sensitiviti agama. Tanpa mengambil kira akan kepentingan sesebuah golongan masyarakat, terdapat pihak yang dengan semena-mena menjadi berat sebelah asalkan diri dapat mengaut keuntungan.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyita 200 unit berus disyaki diperbuat daripada bulu babi menerusi pemeriksaan dua hari di negeri itu.
Sehubungan itu, pemeriksaan akan ditingkatkan bagi mengesan berus yang dibuat daripada bulu babi, termasuk berus lukisan di kedai alat tulis.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub berkata, isu berus berkenaan menimbulkan suasana cemas kepada pengguna terutama yang beragama Islam.
“Kita giat menjalankan pemeriksaan di seluruh negeri untuk memastikan isu ini tidak terus berlarutan dan segala kekeliruan serta sensitiviti pengguna dapat dijaga.
“Menerusi pemeriksaan selama dua hari di sekitar Selangor, kita menyita 200 unit berus disyaki dibuat daripada bulu babi termasuk 101 unit yang mempunyai cop tanda halal,” tambahnya.
Beliau berkata lagi, berus yang mempunyai cop tanda halal turut diragui bahannya berikutan kebenarannya sudah luput manakala berkenaan tidak digunakan lagi.
“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengikuti operasi hari ini mengakui cop tanda halal pada berus itu tidak sah digunakan, malah syarikat pembuat berus itu tidak diberi sijil halal sejak 2014.
“Justeru, kita meragui bahan yang digunakan dan tindakan lanjut akan diambil selepas ujian makmal terhadap berus berkenaan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya.
Kira-kira 30 lokasi kedai menjual perkakasan dan pembekal diperiksa.