Rahsia seorang pelajar kolej tahun satu di Kota Bharu terbongkar apabila mayat bayi ditemui dalam tong sampah oleh pengawal keselamatan.
Remaja terbabit telah mengadu mengalami sakit perut seterusnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II kira-kira jam 8 pagi sebelum mayat bayi itu ditemukan semalam.
Walau bagaimanapun, pelajar perempuan yang berasal dari Perak itu dikatakan menyembunyikan kelahiran bayinya sehinggalah pengawal keselamatan menjumpai mayat bayi yang dilahirkan dalam tandas bilik air di bilik pelajar berkenaan kira-kira jam 3 petang.
Pengawal keselamatan kolej itu berasa curiga selepas mendengar perbualan pelajar perempuan bahawa mereka ternampak titisan darah yang banyak dalam bilik kolej aras dua lalu membuat keputusan untuk meninjau bilik yang dihuni pelajar terbabit.
Pengawal yang membuat tinjauan turut memasuki tandas berhampiran bilikbagi melihat tompokan darah dan seluar yang dibungkus serta dibuang ke dalam tong sampah dan sebaik bungkusan itu dibuka, terlihat mayat bayi lelaki yang cukup sifat serta masih elok bertali pusat.
Walau bagaimanapun, pelajar yang melahirkan bayi itu tiada di dalam bilik ekoran sedang mendapatkan rawatan di hospital waktu itu.
Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke balai selepas pihak pengurusan kolej mahu laporan polis dibuat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus selepas mendapat laporan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Norida Mohd Husain terhadap pelajar yang berkenaan berkuat kuasa hari ini sehingga 11 Februari.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.