Menara Eiffel adalah mercu paling megah yang berdiri di tengah-tengah kota cinta Paris.
Saban tahun hampir tujuh juta pengunjung di mana 75% adalah dari serata dunia pergi ke Paris semata-mata untuk melihat keunikan dan kecantikans seni bina ikonik itu.
Untuk pengetahuan umum, panel kaca akan didirikan di sekeliling dasar Menara Eiffel berdasarkan pelan perlindungan tambahan daripada serangan pengganas, kata sumber di pejabat Datuk Bandar Paris, semalam.
Struktur setinggi 324 itu sudah mempunyai pagar besi perlindungan di dasarnya yang didirikan buat sementara sempena Kejohanan Piala Eropah pada 2016.
Perancis digegarkan dengan serangan militan Islam termasuk pengeboman dan tembakan di Paris pada November 2015 yang meragut 130 nyawa.
Panel kaca setinggi dua setengah meter itu akan dibina sekeliling dasar menara itu sebagai langkah antikeganasan jika diluluskan, kata sumber.
“Kami ada tiga matlamat: memperbaiki pemandangan, menjadikan akses lebih mudah dan mengukuhkan perlindungan kepada pelawat dan kakitangan,” kata pegawai bandar raya, Jean-Francois Martins.
Projek itu memerlukan kos sekitar 20 juta euro (RM94 juta), lapor akhbar le Parisien. -Reuters