Masihkah anda ingat insiden mendebarkan pembunuhan Duta Rusia di Turki pada 19 Disember yang lalu?
Aksi pembunuhan tersebut sempat dirakam oleh jurugambar yang turut berada galeri seni yang menjadi saksi kejadian tersebut.
BACA: DUTA BESAR RUSIA DITEMBAK MATI DI TURKI (4 GAMBAR)
Kini foto yang menjadi bukti kes pembunuhan tersebut telah memenangi anugerah World Press Photo 2017 yang diambil oleh jurugambar daru agensi berita AP, Burhan Ozbilici.
Dalam foto tersebut, Mevlut Mert Altintas dirakam menjerit sambil mengangkat tangan selepas menembak mati Andrei Karlov di Ankara, Turki.
Siri foto dari Burhan bertajuk “Sebuah pembunuhan di Turki” tersebut juga memenangi kategori ‘Spot News – Stories’ kerana merakam saat sebelum dan selepas Andrei ditembak mati.
Bercakap kepada Al-Jazeera, Burhan menegaskan beliau ‘hanya menjalankan tugasnya’.
“Saya segera faham bahawa ia adalah satu momen penting dan bersejarah. Saya perlu kuatkan semangat saya sebagai jurugambar dan buat kerja saya,” kata Burhan.
Kata Burhan lagi, beliau tidak pasti jika beliau boleh melakukan perkara sama seandainya tragedi yang sama berulang.
“Saya tak mampu ramalkan. Tetapi saya tidak mahu perkara seperti ini terjadi lagi kepada sesiapa, di mana-mana pun,” jelas Burhan.
Dalam kejadian tersebut, Mevlut terbunuh selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa selama 15 minit.