Kebiasaanya orang mengambil pengangkutan awam atau terkini aplikasi teksi didalam talian untuk urusan seharian. Namun ada juga segelintir orang yang tidak mampu menjelaskan tambang yang kadang kalanya bagi mereka amat tinggi.
Mungkin faham dengan situasi sekarang yang serba serbi mahal, seorang mualaf, Elvan Chan Abdullah, 43, berkorban menawarkan bayaran tambang sebanyak 10 sen bagi menghantar golongan kurang berkemampuan ke hospital untuk rawatan.
Menggunakan kereta Kia Spectra miliknya yang berusia lebih 10 tahun, Elvan berkhidmat di sekitar Kajang, Bangi dan Semenyih tanpa mengira masa.
“Setakat ini sudah lebih 50 pelanggan menggunakan perkhidmatan saya. Kebanyakan mereka daripada keluarga miskin dan tidak mempunyai pengangkutan sendiri,” katanya yang sudah sebulan menawarkan perkhidmatan sedemikian.
Meski hanya meletakkan harga 10 sen, namun ada penumpang yang membayar lebih kepadanya.
“Biarpun mereka susah namun tetap menghulurkan tambang lebih sekadar kemampuan mereka, biarpun sudah dijelaskan hanya bayar 10 sen,” katanya memetik Harian Metro.
Mendapat sambutan hangat, Elvan berhasrat mendapatkan kenderaan lebih besar seperti van bagi meluaskan perkhidmatannya.
Elvan turut bersyukur kerana keretanya tidak pernah rosak teruk sepanjang mengambil pelanggan.
“Kereta yang digunakan sekarang hanya boleh memuatkan empat penumpang. Sedih kerana kadang-kadang terpaksa menolak permintaan pelanggan.
“Setakat ini saya hanya ambil tiga penumpang sehari dan yang betul-betul memerlukan,” katanya.