Brian Cullinan dan Martha Ruiz dua akauntan dari firma PricewaterhouseCoopers (PwC’s) yang sepatutnya bertanggungjawab dalam proses penjumlahan undi keputusan tidak akan dijemput lagi ke acara itu pada masa depan. Disebabkan kecuaian mereka majlis Anugerah Akademi Ahad lalu dicetuskan dengan insiden yang memalukan.
Cullinan melakukan kesilapan ketika menyerahkan salinan sampul yang mengandungi keputusan aktres terbaik kepada Warren Beatty dan Faye Dunaway.
Sepatutnya, Cullinan menyerahkan sampul yang mengumumkan bahawa filem Moonlight berjaya meraih anugerah bagi kategori filem terbaik.
Kekeliruan itu menjadi insiden paling memalukan dalam sejarah Anugerah Akademi, apabila filem muzikal La La Land diisytiharkan sebagai pemenang bagi kategori filem terbaik, sebelum kesilapan itu disedari pihak penganjur.
BACA: ‘Ribut’ Melanda Pentas OSCARS Gara-Gara Tersalah Umum Pemenang
Cullinan turut dikritik kerana dilaporkan memuat naik mesej di Twitter pada majlis itu, dengan menghantar gambar Emma Stone yang meraih anugerah aktres terbaik bagi filem La La Land, beberapa minit sebelum menyerahkan sampul yang salah kepada Beatty.
PricewaterhouseCoopers mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan berkata: “Cullinan mengakui kesalahannya”.
“Dia sangat kecewa kerana melakukan kesilapan itu, dan ia juga adalah kesilapan saya, kesilapan kami dan kami semua berasa bersalah,” kata Pengerusi PwC’s Amerika Syarikat, Tim Ryan kepada majalah perdagangan, Variety.