Semakin hari, jenayah seks semakin meningkat dan lebih parah apabila mangsa sasaran adalah merupakan kanak-kanak serta para pelajar bawah umur.
Terbaru, satu kejadian melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun telah ditarik masuk ke dalam kereta Proton Wira di Jalan San Peng, sekitar jam 7 pagi, Selasa lalu yang berhampiran sekolahnya.
Menurut laporan yang dipetik daripada Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata suspek seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit gelap dilaporkan memandu keretanya menghampiri mangsa sebelum bertanyakan jalan untuk masuk ke sekolah.
“Pada masa sama, suspek akan cuba mendekati mangsa yang menghampiri keretanya sebelum memberitahu dia mahu menemui seorang guru di sekolah mangsa.
“Suspek kemudian mempelawa mangsa naik keretanya namun disebabkan keengganan mangsa, suspek terus menarik tangannya dan beredar dari kawasan sekolah,” katanya.
Sukri berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Jalan Pudu sebelum kembali semula ke Jalan San Peng dan masuk ke Jalan Loke Yew.
“Ketika dalam kereta, suspek bercerita mengenai pelbagai kisah lucah selain menyentuh alat sulit mangsa serta mengarahnya melakukan seks oral,” katanya.
Akibat ketakutan dengan situasi itu, mangsa nekad terjun dari kereta suspek ketika di Jalan Loke Yew, sebelum lari menyelamatkan dirinya.
Suspek terus memecut keretanya ke arah Cheras, selepas melihat orang ramai memerhatikan kejadian itu. Setakat ini pihak polis masih berusaha mengesan suspek berkenaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Saksi kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.
Dalam masa yang sama, pelajar perempuan semua diingatkan supaya berwaspada dengan individu tertentu yang berpura-pura bertanyakan sesuatu tetapi dikatakan berniat mengambil kesempatan terhadap mereka.