Dilaporkan, makanan tradisional seperti martabak, keropok lekor dan kerepek pisang bakal dikembangkan menjadi antara hidangan dalam penerbangan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya sudah berunding dengan syarikat penerbangan tambang murah terkenal, AirAsia bagi pelaksanaan tujuan berkenaan.
“Kita mempunyai banyak produk makanan tempatan yang boleh disajikan dalam pesawat seperti martabak diraja, keropok lekor dan kerepek pisang yang sekali gus mempelbagaikan lagi hidangan cita rasa tempatan.
“Untuk perkara itu, rundingan sudah pun dibuat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sendiri mengenai usahasama pemasaran produk warisan masyarakat ini dalam masa terdekat.
“Secara dasarnya kita mencapai persetujuan, namun AirAsia mahu meneliti beberapa kriteria terutama aspek pembungkusan, rasa dan kualiti kebersihan sama ada sesuai dihidangkan untuk pelanggan penerbangan,” katanya.