Kehidupan yang kita kecapi hari ini berlaku di atas perubahan zaman di mana yang naif menjadi bijak, yang lama menjadi baru, yang buruk menjadi cantik dan yang mundur menjadi canggih. Semuanya hebat belaka sampaikan ada yang cuba menandingi agama dan tuhan tanpa sedar.
Secara lahiriahnya, kita manusia ini dilahirkan cukup sifat kerana kita ini adalah makhluk yang paling mulia di sisiNYA. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya telah dikurniakan dengan sempurna oleh Allah s.w.t untuk kita menikmati dan memanfaatkannya atas tujuan yang baik.
Namun sayang, adakalanya apabila seseorang itu terlalu mengejar keduniaan, hukum halal dan haram terus tidak diendahkan.
Terkini, penulis bingung melihat ramai anak gadis dan wanita dalam kalangan kita cuba melakukan perubahan pada diri iaitu membuat menyambungan bulu mata atau “Eyelash Extension”. Tidak kurangnya ada para blogger dan insta famous yang bantu mempromosikan servis penyambungan bulu mata ini.
Untuk makluman semua, mengubah kejadian tuhan itu adalah haram namun atas-atas sebab tertentu kadang-kala ia dibolehkan tetapi masih ada garis panduan yang perlu ditaati dan harus dilakukan dalam keadaan serdehana.
Sebuah hadis sahih dari Imam Muslim berkata,
“Sesungguhnya Allah itu ‘cantik’, dan DIA suka akan kecantikan”
Islam sama sekali mengeji perbuatan terkutuk seperti menipu, meninggi diri serta perkara-perkara lain yang boleh dilabel sebagai ‘kelakuan yang keterlaluan’. Dalam masa yang sama, ada juga sesetangah perbuatan yang diharam terus. Antara perbuatan yang diharamkan itu adalah penyambungan bulu mata.
Konsepnya sama seperti memakai bulu mata palsu atau rambut palsu kerana tujuannya adalah untuk mencantikkan diri. Umpama, anda langsung tidak bersyukur dengan kejadian semula jadi diri.
Kita harus faham bahawa, jika perubahan itu dilakukan untuk mencantikkan diri demi suami dan keluarga, ia dimaafkan. Namun jika tujuan mengubah untuk mencantikkan itu dilakukan kerana mahu menunjuk-nujuk, menarik minat kaum lelaki yang bukan muhrim mahupun mempunyai niat untuk membuat kaum hawa lain berasa dengki dan mengagungkan diri anda, itu adalah salah dan jatuh pada hukum haram.
Memang ada jenis penyambungan bulu mata yang bersifat sementara di mana ia hanya bertahan dalam masa beberapa minggu sebelum tertanggal tetapi harus diingat, apabila anda memakai benda haram pada tubuh, solat dan segala ibadah yang dilakukan juga menjadi tidak sah. Ia perlulah ditanggalkan terlebih dahulu untuk air wudhu itu terkena menyeluruh pada kulit dan setiap inci bahagian tubuh walaupun dicelah-celah bulu mata.
Jika seseorang membuat penyambungan bulu mata, bukankah itu telah menyukarkan proses penanggalan? Ini kerana rambut-rambut halus yang membentuk bulu mata itu telah dilekatkan satu persatu pada garisan bulu mata seseorang.
Oleh itu, elak melakukan perubahan yang sebegitu melainkan ia berkaitan dengan maruah seperti:-
“Seorang hamba Allah ini memiliki gigi yang bertindih dan jongang sehingga maruahnya dipersenda oleh mereka yang tidak berhati perut, oleh itu si hamba Allah itu tadi boleh membuat perubahan dengan memakai mendakap gigi iaitu mengubah dengan tujuan mencantikan demi memelihara maruah diri”
Nota kaki: Seperti Nabi Muhammad S.A.W, baginda menggunakan sejenis serbuk celak arab yang dikenali sebagai ithmid untuk mencerahkan penglihatan malah bisa memanjangkan bulu mata.
Cantik memang cantik, tapi kecantikan itu tidak akan kekal seperti mana kekalnya kita di alam kematian nanti. Hati-hati bila membuat keputusan.
Selamat beramal!