Makanan berminyak, bergoreng dan malas untuk bersenam menyebabkan ramai dikalangan rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan dan biasanya dikategori sebagai obesiti.
Menurut dari Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib, berdasarkan statistik, sebanyak 73 peratus daripada pencarum Perkeso yang menjalani saringan kesihatan mempunyai masalah berat badan, kencing manis (sembilan peratus), tekanan darah tinggi (27 peratus) dan kadar kolesterol tinggi (62 peratus).
Kesihatan pekerja di negara ini berada pada tahap membimbangkan dengan sebahagian besar mereka mengalami masalah kesihatan.
Maklumat itu diperoleh daripada Program Saringan Kesihatan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Statistik itu menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja khususnya pencarum Perkeso dalam penjagaan kesihatan”.
“Kesedaran mengenai penjagaan kesihatan amat penting bagi memastikan pekerja kekal sihat untuk bekerja dan menyumbang kepada organisasi dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Run and Ride Perkeso serta menyempurnakan majlis prapelancaran Hari Pekerja 2017 di sini semalam.