Berhubung insiden nama bapa bekas pelari pecut negara Watson Nyambek dipermainkan, Watson secara tegas menolak permohonan maaf daripada Primeworks Studios Sdn Bhd.
Nama mendiang bapa Watson dikatakan dipersendakan seperti kambing oleh pengacara program Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan. Program komedi itu diterbitkan Primeworks Studios dan disiarkan oleh TV3.
“Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di TV serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini susah hendak menerima maaf itu. “Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?,” katanya pada sidang media Primeworks Studios dan Watson Nyambek.
Watson, 41, yang kini adalah jurulatih sukan berkata, ketika ini, hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan. “Mungkin suatu masa nanti, hati saya akan terbuka…dan saya akan menerima kemaafan ini. Jadi sekarang saya belum hendak menerima (permohonan) maaf,”
“Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan,” katanya yang akan mendapatkan khidmat peguam untuk menentukan langkah seterusnya. Watson dan isterinya hadir dalam rundingan damai dan permohonan maaf yang dianjurkan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lain Bujang di Hotel Grand Palace.
Primeworks Studios Sdn Bhd pula menggantung khidmat pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dan enam kru penerbitan, tanpa tempoh dinyatakan, berkuat kuasa serta-merta susulan isu mempersendakan nama ayah bekas pelari pecut negara itu.
Perundingan damai itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios Sdn Bhd Datuk Ahmad Izham Omar dan pengacara rancangan tersebut Azizul Ammar Abu Hassan.