Berita baik buat peminat-peminat drama Korea di Asia untuk Mei ini, ONE bakal menayangkan drama bersiri terbaharu My Sassy Girl, dibintangi pelakon tersohor Joo Won (The Gang Doctor) dan Oh Yeon Seo (Please Come Back Mister).
Meskipun filem asal telah diadaptasi semula beberapa kali sebelum ini, antaranya ke drama bersiri Jepun dan filem Amerika, namun “remake” kali ini membawakan kelainan dan keistimewaan tersendiri kerana jalan ceritanya diset pada zaman Joseon dan bukannya zaman moden. Drama 16 episod arahan Oh Jin Seok (The Gang Doctor) ini adalah pra-dihasilkan sepenuhnya. Drama ini menarik perhatian ramai kerana pelakon utama Joo Won bakal melakonkan drama terakhirnya sebelum menyertai khidmat negara mandatorinya.
My Sassy Girl menampilkan Joo Won sebagai cendekiawan yang tampan dan cerdik tetapi angkuh manakala pelakon wanita Oh Yeon Seo pula memainkan watak Puteri Hyemyung yang jelita dan berperwatakan unik. Ia mengisahkan percintaan dua watak utama ini pada era Joseon.
My Sassy Girl akan ditayangkan di ONE mulai 29 Mei, diikuti episod-episod berikutnya pada setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam, serentak dengan waktu tayangan Korea.