Pereka Fesyen Anuar Faizal yang pernah dilanda kontroversi beberapa ketika dahulu kerana berani tampil dengan rekaan Baju Melayu bersifat eksentrik yang lari dari ciri rekaan Baju Melayu asli kini bangkit dengan beberapa ilham baru lebih segar bersempena Lebaran 2017.
Istimewa untuk lelaki berjiwa moden dan meminati fesyen unik, koleksi lebaran 2017 AF by Anuar Faizal mengetengahkan konsep ringkas bersahaja namun masih lagi mampu memberikan aura keterujaan buat si pemakai serta sesiapa yang melihatnya.
Terdapat dalam tiga rekaan termasuklah Baju Melayu bersampin, padanan Kurta bersama seluar serta Jubah.
Palet warna yang dimanfaatkan pula adalah berasaskan warna-warna menonjol dan garang termasuklah jingga terang, merah hati, champagne, ungu dan hitam.
Masing-masing mempunyai karakter tersendiri dan ringkas tanpa perlu melebih-lebih untuk digayakan secara kasual mahupun formal.
Untuk meraikan kewibawaan pereka yang bijak bermain dengan kelainan ekstrem ini, label fesyennya Anuar Faizal berkolaborasi bersama pihak Galeri Seni Universiti Malaya untuk menjayakan satu pameran khas yang melibatkan pereka fesyen pertama tempatan untuk mempamerkan karya seni agung serta berkongsi perjalanan mencabar bagi meraih nama dan tempat dalam industri pembuatan pakaian.
Pameran Anuar Faizal dianjurkan selama sebulan bermula semalam dan masuk adalah percuma untuk semua peringkat umur.