Semalam dunia digemparkan dengan berita 5 negara kini telah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Qatar iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman dan Bahrain.
Ini semua akibat tuduhan melulu tentang Qatar memberi sokongan kepada kumpulan Muslim Brotherhood, kumpulan Islam tertua di dunia dan menyokong agenda musuh ketat mereka, Iran.
“(Qatar) menyokong pelbagai kumpulan pengganas dan pertubuhan bertujuan menjejaskan kestabilan rantau Arab, termasuk Muslim Brotherhood, ISIS (Negara Islam) dan al-Qaeda serta menggalakkan agenda kumpulan terbabit melalui medianya,” kata SPA.
Agensi berita rasmi Arab Saudi melaporkan negara itu mengambil tindakan tersebut kerana “mahu memastikan hak kedaulatannya dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan perlindungan keselamatan negara itu daripada bahaya keganasan dan ekstremisme”.
Arab Saudi dan Bahrain memberi tempoh 14 hari untuk rakyatnya meninggalkan Qatar. Turut mengambil tindakan sama adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memberikan tempoh 48 jam untuk diplomat mereka untuk meninggalkan Qatar.
Manakala penerbangan milik kerajaan UAE, Etihad Airways mengumumkan akan menggantung semua penerbangan memasuki dan keluar dari Qatar sehingga dimaklumkan kelak. Selain Etihad Airways, syarikat penerbangan Emirates dan penerbangan tambah rendah, Fly Dubai turut membuat keputusan sama.