Saat yang ditunggu-tunggu untuk ucapan ‘YES’ untuk baju pengantin di Malaysia kini telah dibuka! Rasminya saluran televisyen TLC memperkenalkan Jovian Mandagie dan Daphne Iking sebagai hos untuk rancangan realiti pengantin pertama di Asia iaitu Say Yes To The Dress Asia. Ia sebuah rancangan dari sudut realiti para bakal pengantin mencari busana pengantin mereka untuk majlis perkahwinan.
Menariknya, para pengantin akan dibantu oleh pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie dan personaliti tv Daphne Iking sebagai penasihat fesyen untuk memberi pendapat dan pemilihan gaun pengantin bersesuai dengan tema majlis dan pastinya si pengantin itu sendiri.
Bercakap mengenai Say Yes To The Dress Asia sudah pasti pasangan hos ini berasa teruja dan tidak sabar untuk berkongsi pelbagai babak in-real action sepanjang pengambaran.
Menurut Daphne, dia kadangkala tidak dapat mengawal emosi kerana ini semua berdasarkan realiti. Tiada skrip, cuma arahan untuk kekal dalam karakter sebagai penasihat dan hos. Selain itu, Daphne juga menganggap ini suatu cabaran baru buat dia untuk lebih banyak belajar mengenai fesyen terutamanya busana pengantin.
Jovian Mandagie nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, berteraskan ilmu dan pengalaman dalam dunia perincian fesyen, dia tidak lokek untuk memberi yang terbaik untuk para pengantin. Bagi Jovian dia tidak membezakan peserta Say Yes To The Dress Asia dengan pelangganya. Dia melayan, membantu dan mencipta air tangannya sama cara dengan para pelanggan.
Say Yes To The Dress Asia bakal merakam pelbagai emosi dalam perjalanan bakal pengantin mencari busana pengantin ideal untuk mereka. Siri Say Yes To The Dress Asia bakal menemui penonton di TLC pada pertengahan 2017. Ikuti http://www.tlcasia.com/SayYesToTheDressAsia/ untuk info terkini Say Yes To The Dress Asia!