Ramai yang peka tentang kecantikan wajah namun tidak boleh hanya bergantung pada produk penjagaan serta kosmetik semata-mata.
Apa yang semua orang tak tahu, senaman muka yang diselangi urutan serta cubitan kecil pada keliling wajah memang membantu. Untuk makluman semua, jom Wanista kongsikan cara yang paling berkesan untuk tegangkan kekeduran di wajah serta cara mengekalkan keremajaan kulit mengikut peringkat umur masing-masing.
Sebelum mulakan urutan dan teknik cubitan yang bakal penulis kongsikan ini, ketahui dahulu tanda penuaan kulit berdasarkan umur:-
Usia 18: Kulit berminyak dan wajah tidak halus sekata.
Usia 28: Pigmentasi mula timbul, kelihatan perubahan kulit di sekitar dagu (lazimnya smile lines muncul lebih nyata).
Usia 38: Menampakkan kesan kerutan antara mata, kantung mata makin jelas malah kelihatan sembab dan muncul spot pada wajah.
Usia 48: Kerut makin nyata pada kulit sekitar bahagian atas bibir, makin banyak lipatan ataupun garisan di sekitar hidung, dagu berkerut, bahagian bawah wajah mengendur dan spot semakin gelap dan membesar.
Usia 58: Bahagian bawah wajah semakin mengendur, bahagian atas mata semakin tampak tenat dan kelihatan perubahan tekstur pada leher dan dagu.
Usia 68: Penuaan ke tahap lebih lanjut, evolusi berjalan perlahan di bahagian mata, pada bahagian bawah wajah, tanda-tanda penuaan kulit wajah sangat jelas dan gangguan pigmentasi mulai berhenti.
Cara Mengekalkan Keremajaan Kulit Mengikut Peringkat Umur
Untuk Wanita 20an…
Kulit masih muda dan seharusnya dibelai secara lembut kerana keadaan kulit dalam tempoh waktu ini adalah sangat sensitif. Oleh itu, usap krim atau apa sahaja produk wajah bermula dari bahagian bahagian mata menghala ke kedua belah pipi. Selepas itu, urut dahi pula dengan gerakan menolak ke arah atas.
Untuk Wanita 30an…
Sebelum menyapu atau menggunakan produk pada kulit. Lakukan teknik cubitan kerana ia dapat bantu menghangatkan kulit seterusnya memudahkan tindak balas kulit terhadp produk yang digunakan agar lebih efektif.
Dengan jari, cubit lembut bermula dari dagu dan bergerak sepanjang garisan rahang kemudian beralih kepada hidung dan naik kebahagian dahi. Dari pipi cubit dengan gerakan naik ke atas.
Jangan lupa fokuskan cubitan di bahagian bawah mata serta kening juga!
Untuk Wanita 40an…
Anda boleh menaikkan seri wajah dengan menggalakkan pengaliran limfa. Tekan kulit muka menggunakan buku jari (tulang penumbuk tangan) dan tolak kulit wajah ke arah atas secara lembut. Bermula dari dagu hingga ke garisan rahang, sisi hidung ke bahagian telinga dan bawah mata hingga ke sisi dahi.
Apa-apa pun, pastikan anda menjaga kebersihan tangan sebelum menyentuh muka. Ingat! Tangan adalah tempat paling banyak bakteria membiak. Kalau tak mahu jerawat menyerang muka, jangan suka-suka sentuh muka dengan tangan kotor okay?
Selamat beramal!