Isu minuman berkarbonat Fanta tidak halal dan mengandungi lemak babi kembali tular dan telah dijawab oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu sehingga kini minuman tersebut mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.
Melalui laman Facebook rasminya, Jakim menegaskan dakwaan minuman tersebut mengandungi lemak babi adalah palsu.
Walaupun sudah dijelaskan pada 12 Oktober 2016 dan 28 Disember 2015, namun sehingga kini masih ada lagi pengguna menyebarkan berita palsu.
Gambar tular itu mendakwa air minuman itu mengandungi karsinogenik (E211 dan E224) dan lemak babi.
Poster itu turut menyatakan bahawa perkara itu diperoleh daripada seorang sarjana Islam Sri Lanka, Mufti Mohammed Ibrahim Mohammed Rizwe atau Rizwi Mufti.
Malah, poster itu juga meminta orang ramai supaya tidak memadamnya sebaliknya berkongsi poster terbabit kepada seluruh umat Islam.