Puteri tunggal Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim akan berkahwin dengan jejaka hati pilihannya Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini dengan penuh istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.
Walau bagaimanapun, istiadat perkahwinan Tunku Puteri Johor berusia 31 tahun itu dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah, 28, dilakukan secara tertutup di Istana Bukit Serene.
Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat pertunangan akan diadakan pada pukul 10 pagi diikuti istiadat nikah di istana tersebut.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Puteri Johor melangsungkan perkahwinannya.
“Sultan Johor berkenan mewakilkan Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin yang juga Mufti Johor sebagai wali,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan semalam.
Tunku tun Aminah dilahirkan pada 8 April, 1986 di Hospital Sultanah Aminah dan merupakan anak kedua dari enam orang adik-beradik.
Dennis sebelum ini adalah seorang pemain bola sepak dan pernah berkhidmat sebagai pengurus JDT Concept Store and Cafe sebelum memegang jawatan sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers di Singapura.
Menurut sumber terdekat, Dennis atau nama islamnya kini Dennis Muhammad sah memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh Pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadhan, pengajian Al-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya etika serta protokol istana.
“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dn pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan.
Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” jelas Abdul Rahim.
Untuk pengetahuan umum, Dennis dilahirkan di Lisse, Belanda da merupakan anak kepada pasangan Martin dan Henriette Varbass telah menerima pendidikan di Floretti College Hillego The Netherlands dan kemudian meneruskan pelajaran vokasional dalam bidang kejuruteraan mekanikal di ROC Leiden, The Netherlands.
Dalam masa yang sama, ada juga sumber lain mengatakan bahawa bakal suami Tunku Tun Aminah ini pernah bergelar peragawan popular di negera kelahirannya suatu ketika dahulu.