Sebelum ini, kita heboh dengan berita kewujudan menu burger Nasi Lemak di McDonald’s Singapura. Rata-rata netizen semuanya tidak puas hati mengapa burger itu tidak dilancarkan di Malaysia sebelum akhirnya McDonald’s Malaysia ‘menghadiahkan’ burger Korea kepada rakyat Malaysia bagi menggantikan kekcewaan tidak dapat menikmati burger Nasi Lemak.
Terkini ada pula menu Nasi Lemak unik di Singapura yang menjadi viral gara-gara menghidangkan nasi yang ditanak dengan santan itu bersama makanan laut mewah! Bukan nasi lemak biasa yang dimakan dengan lauk-pauk klise seperti sambal keranng mahupun sotong, ini ialah Nasi Lemak lobster atau udang karang!
Memang buat orang terliur hendak menikmatinya sekarang juga!
Menu yang dihidangkan khas di sebuah gerai bernama Lawa Bintang di Tampines, Singapura itu pada mulanya mendapat aduan dek harga terlalu mahal.
Bagaimanapun, harga 22 Dollar Singapura (RM69) untuk sepinggan Nasi Lemak Lobster yang ditawarkan berbaloi dengan rasa yang menyelerakan.
Nasi lemak premium itu dihidangkan bersama seekor lobster bersalut minyak bawang putih dan tiga jenis keju berbeza itu dipanggang dan diadun dengan pelbagai jenis herba untuk meningkatkan rasa udang jenis itu.
Bagi yang merasakan harga itu terlalu tinggi, pilihan nasi lemak biasa (dihidang bersama telur, timun, kacang dan sambal) dijual dengan harga 9 Dollar Singapura (RM28) sepinggan.
Gerai Lawa Bintang itu dibuka dari pukul 9 pagi hingga pukul 2 petang setiap hari kecuali Isnin. Jangan risau kerana hidangan mereka dijamin halal.
Selain Nasi Lemak Lobster dan Nasi Lemak Biasa, ada juga menu istimewa mesti cuba yang lain seperti Nasi Lemak Salmon, Nasi Lemak Itik Salai, Mee Rebus Tulang, Nasi Lemak Kerang, Nasi Lemak Ketam dan banyak lagi.
Jadi jika anda hari-hari anda pergi melawat ke negara jiran tu nanti, janganlah lepaskan peluang untuk merasa keenakkan Nasi Lemak Lobster ni okay? Bukan sahaja sedap malah nampak cantik untuk dirakam sebagai gambar Instagram.
Lawat laman Facebook rasmi Lawa Bintang [di sini].