Dah sebati rasanya lidah kita orang Melayu ni bila sampai waktu makan nasi, mesti hendak cari sambal untuk digaul bersama. Lebih-lebih lagi nasi panas yanng baru dimasak tu. Mmm… telan air liur bila membayangkan.
Dah selalu sangat makan sambal belacan, sambal ikan bilis, sambal udang, sambal ayam, sambal terung pipit, sambal itam belimbing buluh dan macam-macam lagi lah.
BACA: [Mesti Cuba! Resepi Sambal Hitam Pahang]
Istimewanya resipi yang penulis nak kongsikan hari ni, penulis import terus dari Jawa tau. Resipi sambil kering mudah dari mantan bibik penulis.
Masih ingat lagi waktu balik sekolah dahulu kalau dapat tahu bibik masak sambal tempe rangup ni… belum sempat buka baju sekolah dah terjah masuk dapur ceduk nasi dalam periuk. Ramuan sambalnya mudah je, tapi kalau dimakan dengan nasi begitu sahaja tanpa lauk lain pun dan cukup sedap! Senang kata, sambal ni memang ‘berhantu’.
Bahan:
- Tempe
- Suun (glass noodle)
- Kacang Tanah
- Tauhu kembung
- Cili api, diracik
- Kicap jenama ABC
- Garam secukup rasa
Cara:
1. Tak perlu merendam suun. Pastikan minyak dalam kuali benar-benar panas lalu gorengkan suun sehingga menjadi kerinting seperti di dalam gambar.
2. Goreng sedikit demi sedikit seperti keropok, kerana jika anda goreng terlalu banyak bersama dikhuatiri akan jadi berbuku dan ada bahagian yang tidak masak. Pastikan juga anda menggoreng secara minyak penuh. Toskan dan letak tepi.
3. Kemudian hiris pula tempe ikut cara tersendiri. Seperti penulis, penulis potong tidak terlalu nipis dan tidak juga terlalu tebal. Goreng garing dan toskan.
4. Setelah itu gorengkan kacang tanah. Toskan dan letak tepi.
5. Goreng tauhu kembung dan hiris. Letak tepi.
6. Panaskan minyak baru dalam kuali bersih untuk mulakan proses memasak sambal.
7. Sementara menunggu boleh hiriskan cili. Jika memang benar mahu pedas, boleh racik ia halus-halus jika tidak, hiris tebal supaya ia kelihatan dan boleh diasingkan sewaktu makan nanti.
8. Tumis bawang merah hingga naik bau… masukan bahan yang trlah digoreng tadi; tauhu, tempe, kacang tanah dan suun. Gaul hingga sebati.
9. Taburkan hirisan cili dan gaul lagi.
10. Masukan kicap abc, lalu taburkan secubit garam. Gaul dan cuba rasa kalau-kalau ada yang kurang.
10. Siap dan boleh makan dengan nasi sekarang!
Selamat mencuba! ❤️