Minggu lepas, penulis sempat menuntut satu resipi mudah yang dipelajari daripada Chef Nik.
Sandwich ni akan dimakan secara sejuk, di mana intinya akan diperam beberapa jam terlebih dahulu bersama telur masin dan mayonis sebelum diapit dalam bun roti lembut yang sudah digril dengan butter!
Rasanya enak dan sesuai dimakan sebagai sajian makan tengah hari atau makan malam yang ringkas namun masih mengenyangkan.
Kalau anda teringin, jom belajar dan buat Sandwich Berinti Udang Telur Masin ini sendiri di rumah.
Bahan:
- Udang (basuh dan rebus)
- Telur masin (ambil kuning telur sahaja)
- Batang saderi (dihiris tebal)
- Mayonis
- Daun chives segar (dihiris)
- Garam
- Perahan jus lemon
- Bun hotdog
- Butter (dicairkan)
Cara:
Inti
1. Siang dan basuh udang sehingga bersih sebelum merebusnya. Rebus sehingga masak, tosk dan kupas kulitnya. Letak tepi.
2. Hiris batang saderi (jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis). Letak tepi.
3. Hiris halus daun chives. Letak tepi.
4. Rebus telur masin sebelum menghancurkan kuning telurnya dan letak tepi.
5. Dalam mangkuk bersih, gaulkan kesemua bahan tadi termasuklah kuning telur hancur, udang, daun saderi serta sedikit chives. Gaul sehingga sebati bersama satu hingga dua sudu besar mayonis. Taburkan sedikit garam serta jus perahan lemon untuk perasa.
6. Peram campuran tersebut selama 2 hingga 3 jam dalam peti sejuk dan sila pastikan bekas yang digunakan bertutup rapat untuk mengelak campuran berkuap.
Bun Sandwich
1. Belah sedikit bahagian tengah roti bun hotdog agar mudah untuk digril.
2. Sapukan butter cair pada permukaan dalam bun kemudian grilkan di atas kuali leper panas.
3. Gril bun sehingga permukaan dalamnya menjadi garing dan bertukar warna keemasan.
4. Kemudian, selitkan inti campuran udang tadi dan nikmatinya ketika inti masih sejuk!
5. Taburkan lebihan hirisan chives sebagai hiasan.
Selamat mencuba! ❤️