Tidak dinafikan, kebanyakan ibu muda sering mengalamai masalah kekeringan susu badan. Sudahlah payudara semakin membengkak dan kesakitan, susu pula tidak berapa hendak ada.
Dalam pada itu, panik mula melanda jiwa dek gelisah memikirkan andai bayi tersayang tidak mendapatkan makanan yang cukup. Oleh itu, sebagai ibu yang menyusukan bayi… kita harus peka dengan keperluan nutrisi terbaik demi menggalak tumbesaran bayi agar tubuhnya kekal cergas sekaligus merangsang kecerdasan otaknya.
Punca Kekeringan Susu Badan
Antara sebab-sebab utama mengapa ibu boleh kekurangan susu badan adalah kerana tekanan (stress), faktor pemakanan yang tidak sihat/seimbang, bayi tidak kerap disusukan, bayi tidak mahu menyusu, mengambil ubat-ubatan yang mempengaruhi horman dan menghasilan susu serta kurang minum air (kekurangan bendalir dalam badan).
Cara Tambah Susu Badan
Ramai keliru kerana menganggap urutan payudara dapat menambah susu badan walhal, pengurut sebenarnya tidak dapat menghasilkan susu lebih banyak namun hanya boleh bantu membuka rongga saluran puting yang tersumbat agar mudah bayi untuk menyedut susu tanpa sebarang halangan.
Pemakanan si ibu sedikit sebanyak memberi impak kepada penghasilan susu badan. Terdapat beberapa makanan yang boleh menambah serta menggalak penghasilan susu badan secara berkesan.
#1 Bijirin Oat
Oleh kerana madu dan kurma juga mengandungi khasiat untuk menambah susu badan si ibu, para ibu digalakan mengambil oat yang dicampur dengan pemanis asli seperti madu dan hirisan kurma. Pasti lebih enak!
#2 Sayuran Berdaun Hijau
Bayam terutamanya mengandungi kadar vitamin dan mineral yang tinggi termasuklah zat besi, kalsium, folat serta vitamin A. Kesemua khasiat ini amat membantu untuk penghasilan susu badan. Ibu yang menyusukan dicadang untuk memakan dua bahagian sayuran hijau setiap hari sepanjang menyusukan bayi. Boleh masak tanpa minyak banyak bersama lada hitam dan bawang putih atau dicelur begitu sahaja bersama sedikit garam.
#3 Bawang Putih
Selain dapat mengeluarkan angin dalam badan untuk ibu yang berpantang, bawnag putih juga memiliki khasiat tersendiri untuk menambah susu badan. Selain dicampur dalam makanan, bawang putih juga boleh dibakar dan dimakan seperti ubi kentang mahupun sagat 3 butir bawang putih ke dalam segelas susu yang sudah dicampur madu dan sedikit gula kemudian meminumnya.
#4 Biji Halba
Sebagai alternatif bijak, biji halba boleh ditambah sebagai perisa beraroma di dalam lauk-pauk terutamanya sup dan bubur nasi umpamanya. Kaya dengan lemak omega-3 untuk sokong pertumbuhan otak bayi.
#5 Kekacang & Buahan Kering
Badam dan gajus yang tinggi dengan kadar protein, zat besi dan serta mampu memberbanyakan susu badan. Makanlah ia sebagai snek kudapan.
#6 Bijan
Menurut orang barat, bijan adalah sejenis sumber kalsium bukan susu. Seperti yang kita tahu, kalsium amat penting untuk ibu yang sedang menyusukan kerana ia akan disalurkan kepada bayi untuk bantu proses tumbesarannya yang sihat. Boleh taburkan bijan pada nasi panas mahupun jadikan biskut yang berasaskan bijan sebagai snek yang boleh meningkatkan penghasilan susu badan!
#7 Lobak Putih & Lobak Merah
Lobak putih boleh dicelur untuk dijadikan ulam mahupun diramu bersama masak air manakal lobak merah boleh dijadikan jus.
#8 Soya
Boleh makan pelbagai makanan yang berasaskan kacang soya se[erti tauhu, tempe mahupun minuman susu soya itu sendiri.
#9 Aneka Ulaman
Jantung pisang, pucuk betik, pucuk bebuas, pucuk manis dan pegaga memang terkenal sebagai ulaman yang diambil oleh para ibu yang sedang menyusukan bayi. Selain itu ulam-ulaman ini juga akan menjadi penawar kepada luka-luka dalam perut selepas melahirkan.
Bonus!
Bagi yang beragama Islam, boleh cuba amalkan bacaan surah Al-Baqarah ayat 60 atau surah hujurat dan sapu di kedua belah payudara. Sambil menyusukan, sentiasalah usap rambut bayi, cium bayi.
PENTING!
Dinasihatkan supaya ibu tidak memberi bayi makanan lain selain daripada susu badan terlalu awal, seperti makanan tambahan, nestum, minuman jus, buah-buahan atau air masak melebihi kadar sepatutnya kepada bayi berumur kurang 6 bulan. Ini kerana apabila bayi sudah terbiasa disuap makanan tambahan, bayi akan kurang menyusu dan ini sekaligus akan mengurangkan penghasilan susu badan si ibu.
Apabila bayi kurang menyusu, payudara ibu akan membengkak (sejenis penyakit radang pada tisu dalam payudara dipanggil “Mastitis”) dek kandungan susu yang tertakung dalam badan.
Menurut pakar, Mastitis atau bengkak susu itu mempunyai peratusan yang kecil untuk menjadi punca kanser payudara.
Jika bayi tidak mahu menyusu badan, cuba cari alternatif dengan memerah susu tersebut dan simpankannya sebagai stok dalam peti sejuk yang kemudian boleh diberi kepada bayi menggunakan botol susu.
Tanda Bayi Kenyang Menyusu
- Proses menyusu tenang dan tidak sakit.
- Bayi akan melepaskan puting dengan sendirinya apabila dia sudah kenyang.
- Bayi baru lahir akan menyusu sekurang-kurangnya enam (6) hingga (8) kali sehari.
- Payudara terasa kosong dan lebih lembut selepas menyusukan.
- Bayi akan kencing sekurang-kurangnya 7 kali dalam masa 24 jam. Warna kencingnya juga kuning dan adakalanya terdapat gumpalan kecil seperti sisa susu.
- Bayi yang cukup menyusu juga boleh buang air besar beberapa kali sehari dan adakalanya sekali dalam masa lima hari. Itu adalah normal.
Selamat beramal! ❤️