Mungkin anda biasa dengar atau nampak labu sebagai hiasan Halloween kan? Atau pun sebagai inti kepada pai. Namun tanpa kita sedari, sebenarnya labu padat dengan nutrien, disamping rendah kalori. Labu mengandungi vitamin A, B-kompleks, C dan E, kalium, magnesium, kalsium, mangan, besi, zink, fosforus, tembaga, folat, karotenoid dan juga antioksidan.
Berikut adalah 8 manfaat kesihatan daripada labu:
#1 Meningkatkan kesihatan mata
Satu cawan labu tin dimasak menyediakan lebih daripada 100% daripada keperluan harian anda untuk vitamin A. Vitamin A membantu penglihatan, terutamanya dalam cahaya malap dan membantu melindungi permukaan mata (kornea). Selain itu, labu kaya dengan karotenoid seperti beta-karotena dan alfa-karotena yang mencegah katarak mata.
#2 Meningkatkan imuniti badan
Labu kaya dengan nutrien seperti vitamin A, C dan E, karotenoid, besi, magnesium dan lain-lain. Vitamin A membantu untuk komunikasi selular, yang penting untuk tisu-tisu yang melindungi badan anda daripada patogen. Vitamin C juga berfungsi sebagai imun booster untuk melawan sebarang jangkitan.
#3 Membantu pencernaan
Labu kaya dengan serat dan baik untuk pencernaan. Serat membantu tubuh anda mencerna makanan dengan cepat dan menyerap nutrien. Ia membantu menggerakkan makanan melalui saluran penghadaman, mencegah sembelit dan menyerap air, oleh itu dapat mengawal cirit-birit.
#4 Membantu menurunkan berat badan
Labu adalah rendah kalori dan tinggi dengan serat. Serat bagus untuk membuatkan anda rasa kenyang lebih lama dan dapat mengawal atau merendahkan nafsu makan anda.
#5 Memberikan kesan kulit yang cantik dan nampak muda
Vitamin A yang tinggi dalam labu menyediakan manfaat antipenuaan dan menggalakkan kesihatan kulit yang baik dan kelihatan lebih muda. Selain itu, beta-karotena yang terdapat di dalam labu boleh membantu mengurangkan kerosakan kulit yang disebabkan oleh matahari. Vitamin C dan E dalam labu juga meningkatkan kesihatan kulit dengan menggalakkan pengeluaran kolagen dan memberikan kesan kulit yang bercahaya. Vitamin B5 dalam labu pula membantu mengurangkan tanda-tanda penuaan seperti bintik-bintik pada kulit. Selain daripada memakan labu, anda juga boleh membuat jus labu atau sapukan labu pada kulit anda.
#6 Mengurangkan keradangan
Karotenoid bertanggungjawab memberikan labu warna oren dan juga memberikan manfaat anti-radang. Ia membantu mengurangkan keradangan yang boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan kronik, seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis dan arthritis. Beta-karotena juga membantu mencegah pengumpulan kolesterol pada dinding arteri. Alfa-karotena melambatkan proses penuaan dan mencegah pertumbuhan tumor. Antioksidan vitamin E melindungi daripada sesetengah kanser dan mengurangkan risiko Alzheimer.
#7 Makanan yang baik selepas bersenam
Labu adalah pilihan makanan yang sesuai selepas anda bersenam. Makanan ini berkanji dan padat dengan nutrien. Hal ini sangat berguna sekiranya anda berusaha untuk mendapatkan berat badan atau otot. Ia juga memberi manfaat kepada mereka yang menjalani latihan sukan. Labu yang dimasak membantu mengisi bahan bakar kadar potasium untuk mengembalikan kesimbangan elektrolit di dalam tubuh selepas melakukan senaman yang sukar.
#8 Menurunkan tekanan darah tinggi
Kandungan kalium yang tinggi dalam labu membantu mengawal tekanan darah tinggi. Vitamin C juga mengurangkan tekanan darah. Labu tin dimasak memenuhi 20% daripada keperluan vitamin C harian anda. Vitamin A yang tinggi dalam makanan ini membantu fungsi jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Penulis paling suka makan bubur labu atau sup labu. Korang?