Malu kan kalau ada bunyi kuat dari bahagian atas dan bawah, terutamanya dari bahagian punggung. Bunyi apa tu? Bunyi sendawa dan kentutlah!
Dua benda ini sudah menjadi sebati dan tipu kalau badan anda tak pernah mengeluarkan alunan unik ini. Ada yang kuat, ada yang berirama dan ada juga memberi bau yang buat orang lain naik angin. Perkara yang memalukan yang keluar dari badan kita ini sebenarnya normal dan petanda kita sedang bekerja dengan baik.
Kepada anda yang masih lagi tiada klu dari mana datangnya sendawa dan kentut, biar Wanista ringkaskan segala informasi tentangnya.
Jadi apa sebenarnya sendawa dan kentut?
Ianya cara untuk badan mengeluarkan angin yang terdapat didalam saluran penghadaman.
Macam mana pula boleh ada angin dalam badan?
Ia berkemungkinan kerana anda menelan angin. Percaya atau tidak, semasa kita bernafas, menelan makanan, menguyah makanan terlalu laju atau gula-gula getah dan minum air berkarbonat angin boleh masuk kedalam badan. Semasa makanan dihadamkan dan diserap segala nutrisi, proses tersebut dibantu oleh bakteria baik dan ia juga menyebabkan berlakunya angin yang dipanggil kentut.
Terdapat juga sesetengah bahan makanan menyebabkan pengeluaran angin yang banyak.
Kenapa ada yang berbau?
Perasan kan ada sesetengah angin berbau? Ianya kerana bahan sulfur yang terkandung didalam makanan. Malah ada juga bakteria dalam perut menghasilkan metana dan hidrogen sulfida yang membuatkan kentut dan sendawa berbau.
Ini antara bahan makan buat anda sentiasa bergas:
- Kekacang
- Bawang, brokoli, kubis bunga, brussels sprouts dan kubis
- Makanan penuh gandum seperti bijiran, roti dan biskut
- Gula yang terdapat dalam buah-buahan atau jus dan makanan yang telah diproses yang tinggi kandungan sirap gula fruktosa
- Gula tambahan dalam minuman dan makanan diet
Jadi tiada apa yang membahayakan dan membezakan tentang kentut dan sendawa. Paling menarik, ada orang dilahirkan dengan bakat ‘furp’ iaitu singkatan fart dan burp. Ya! Boleh kentut dan sendawa serentak. Geli pula!