Pakaian dan penampilan diri adalah perkara paling pertama yang dilihat oleh apa jua segi sekalipun. Pergi temuduga kerja, bertemu dengan keluarga mertua atau apa sahajalah. Penampilan yang memberi maksud siapa diri kita buat mata yang memandang. Namun, kadangkala dari pakaian juga menyebabkan wujud salah faham identiti. Biasanya orang yang berpakaian tidak kemas atau selekeh dianggap pemalas dan tidak bekerjaya. Walhalnya, dia seorang jutawan! Ambil contoh seperti Mark Zuckerberg.
Biarlah Mark, beliau jutawan yang berjaya dan dikenali ramai tapi kita ini apa yang ada kalau bukan penampilan yang juga memberi jaminan. Sekalipun begitu jangan pula menjaga penampilan sampai poket diseluar ‘kering’. Bijak dalam memilih pakaian sebenarnya yang paling penting. Beli baju mahal berjenama kalau tak pandai gayakan pun silap juga.
Buat anda yang masih lagi kusut dan rasa tidak yakin dengan pakaian yang anda pakai setiap hari. Mari semak, adakah anda mengikuti peraturan dengan pakaian dengan tepat? Iya, memang dalam berfesyen tiada rules tapi silap penggayaan anda boleh digelar fashion victim.
#1 Pilih susunan pakaian
Apa yang dimaksudkan ialah, terapkan dalam fikiran untuk sentiasa memilih susunan top dan bottom dalam bentuk yang berlainan. Sebagai contoh, jika anda memakai top yang besar dan longgar, pastikan bottom seperti seluar skinny jeans atau tight. Begitu juga sebaliknya, jika bahagian bottom longgar seperti skirt atau seluar palazo pastikan bahagian top sedikit tight.
#2 Beli saiz yang tepat
Ramai yang ambil endah tentang pemilihan saiz, ‘asal boleh’. Lebih lagi kalau beli pakaian atas talian ukuran baju kadangkala tidak begitu tepat. Kesalahan yang sering dilakukan ialah dengan membeli saiz yang lebih besar kononya untuk menutup bahagian besar tubuh anda. Cara tersebut membuatkan badan anda lebih besar!
Tips! Anda kena enhance bahagian pinggang untuk beri ilusi pada tubuh dan yang paling penting keselesaan.
#3 Fabrik juga penting
Warna dan fabrik antara faktor besar dalam pengubah gaya. Kalau anda tidak mahu kelihatan besar, jangan pilih fabrik yang firm atau keras. Fabrik jenis denim, berbulu, brokat atau satin beri tubuh nampak berat untuk selamat pilih fabrik lembut jersi, sifon, sutera, krep dan sutera menfokuskan pada bentuk badan. Corak bergaris antara mainan dalam fesyen, garis melintang buat anda lebih tampak lebar, manakala garisan menegak beri ilusi lebih langsing dan tinggi. Nak nampak kurus dengan mudah, pilih sahaja warna gelap.
#4 Bijak tambah aksesori
Aksesori dapat membantu mengalih pandangan mata dari kelemahan tubuh. Contohnya jika anda tidak mahu orang fokus pada bahagian bottom, pakai rantai di leher untuk menarik mata memandang ke atas. Sama juga dengan pemakaian subang untuk beri ilusi lebih jinjang dan sebagainya.
Beg tangan bersaiz kecil tidak sesuai pada mereka yang bertubuh kecil, ia beri ilusi mereka semakin kecil sama juga dengan mereka yang tinggi. Jika anda tidak mahu bentuk punggung anda menjadi perhatian, beg jenis cross-body mengalih pandangan ke bahagian pinggang berbanding punggung.
Elakkan memakai kasut bertali lebar, ia membuatkan kaki anda nampak pendek. Kasut tanpa tali atau bertali halus boleh memberi ilusi kaki lebih panjang dan tinggi. Jika anda bersaiz petite, jangan sesekali menyarung kasut tinggi bertapak lebar, bercorak geometri tapi pilih sahaja yang ringkas tanpa banyak perincian.
#5 Hargai bentuk tubuh anda!
Kita lupa tentang perbezaan yang ada pada semua manusia. Sampaikan bila pakaian tersebut tampak cantik pada orang lain kita mula tiru tapi tidak sedar ia langsung tidak sesuai. Peraturan pertama dalam berfesyen ialah kenali bentuk tubuh anda, jangan tolak keisimewaan yang ada.