Tanggal 8 November 2017, rakyat Indonesia bergembira meraikan pernikahan anak perempuan sulung Presiden Joko Widodo iaitu Kahiyang Ayu, 26, bersama lelaki pilihan hatinya, Muhammad Bobby Afif Nasution, 26, sekitar pagi semalam.
Meskipun daripada golongan bangsawan, ternyata resepsi dan upacara nikah Kahiyang hanya dilangsungkan secara berserdahana.
Memilih lokasi dewan Gedung Graha Saba di Solo milik keluarganya, hidangan yang disajikan buat tetamu juga ditempah menerusi perusahaan katering milik Kahiyang sendiri. Kedua mempelai dikahwinkan dalam upacara keagamaan penuh tradisi mengikut adat jawa.
Suami Kahiyang adalah darah kelahiran Mandailing dari Sumatera Utara dan menurut sumber, beliau adalah jejaka berketurunan raja yang menjawat jawatan sebagai Pengarah untuk sebuah firma hartanah ternama.
Khabarnya juga, cinta mereka mula bertaut sejak 2015 ketika sama-sama menyambung pengajian peringkat pascasiswazah (postgraduate) di Institut Pertanian Bogor (IPB), Jawa Barat dahulu.
Mahar pemberian Bobby kepada Kahiyang adalah berbentuk satu dulang peralatan solat berserta emas 80 gram bernilai kira-kira RM15,330.
Presiden Joko Widodo mewalikan sendiri ijab qabul puteri sulungnya itu dan dengan hanya satu lafaz, Kahiyang Ayu sah menjadi milik Bobby Nasution sambil disaksikan Wakil Presiden Jusuf Kalla dan Menteri Koordinator Perekonomian Darmin Nasution.
Dihadiri seramai 7,000 jemputan bagi memeriahkan majlis serta dikawal ketat oleh 5,500 pegawai polis dan askar, selain masyarakat setempat dan para selebriti, antara tetamu VIP yang turut sama hadir adalah Garbenor Jakarta, Anies Baswedan serta mantan Presiden Indonesia terdahulu termasuklah Megawati Soekarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono.
Persandingan sebelah pihak lelaki bakal dilangsungkan di Medan pada penghujung November ini.