Dek terpengaruh dengan kecantikan “beauty guru” serta para social influencer, ramai anak-anak gadis dan wanita masa kini sanggup menggadaikan diri serta wang ringgit semata-mata untuk kelihatan sama cantik seperti ikon pujaan mereka.
Trend paling terkini yang sering mendapat perhatian adalah rawatan penyambungan bulu mata atau “eyelash extension”.
Perkhidmatan itu biasanya ditawarkan di salon-salon profesional dan kosnya adalah sekitar RM50 hingga RM400 ringgit bagi kedua-kedua belah kelopak mata dan baru-baru ini berlaku di Perth, Australia, seorang wanita hampir kehilangan semua bulu mata aslinya gara-gara taksub dengan rawatan tersebut.
Foto dan cerita ngeri itu dikongsikan sendiri oleh seorang pemilik salon bernama Emma Dhajal. Katanya, suatu hari dia didatangi oleh seorang wanita yang merayu untuk keadaan bulu matanya dipulihkan seperti sedia kala.
Lebih parah, baru sahaja Emma cuba menyentuh bulu mata wanita malang itu menggunakan penyepit tweezer, dengan tidak semena-mena ianya gugur secara bergumpal.
Biarpun wanita itu ada meminta supaya Emma melakukan penyambungan semula bagi memulihkan keadaan kelopak matanya yang sudah ‘gondol’, tetapi hal itu tidak dapat diteruskan melihatkan bulu mata aslinya sudah hilang hampir sepenuhnya.
Emma kemudian ada meminta supaya wanita itu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar kerana kawasan kelopak matanya sudah mulai bengkak bahkan jika tumbuh bulu mata yang baru sekalipun, ia tidak akan kelihatan sempurna seperti dahulu.
“Sepanjang pengalaman saya sebagai pakar bulu mata, saya belum pernah temui kes seteruk ini,” tambahnya.
Jadi hati-hati, sebelum membuat sebarang rawatan di klinik-klinik kecantikan mahupun salon-salon di luar sana, pastikan baca ulasan pelanggan yang terdahulu untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan.
Jika membuat rawatan penyambungan bulu mata ini, terdapat beberapa peraturan dan tertib yang harus diikuti malah penjagaannya juga perlu rapi agar ia tidak rosak. Jangan sesekali cuba menanggalkan bulu mata yang telah disambungkan itu sendiri kerana apabila tersilap langkah, ia akan memberi kesan buruk kepada keadaan bulu mata asli anda. Serahkan segalanya pada yang pakar okay?
Jika dah kemaruk sangat mahu bulu mata yang panjang dan melentik, boleh cuba manfaatkan petua-petua semula jadi yang pastinya selamat dan tidak menggugat kesejahteraan bulu mata asli anda.