Siapa yang tidak kenal dengan jenama gedung yang menawarkan pelbagai item keperluan dan kelengkapan rumah yang dihiasi tulisan logo rona kuning sambil ditemani latar biru ini?
Pertengahan minggu lalu pada tanggal 16 November 2017, IKEA Malaysia dengan bangganya membuka satu lagi cawangan baharu mereka yang berlokasi di Tebrau, Johor Bahru.
Ribuan orang sanggup beratur panjang seawal jam 6 pagi bagi menyertai sambutan gah pada hari pembukaan IKEA Tebrau tersebut!
Jangan terkejut kerana ada antara pengunjung yang turut serta pada hari pertama pembukaan memandu jauh dari Kuala Lumpur tahu? Ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut beberapa item murah yang dijual pada hari berkenaan.
Untuk ketahui apa yang lebih seronok di IKEA Tebrau, jom Wanista kongsikan bersama dengan anda…
#1 Merupakan cawangan IKEA Terbesar Di Asia Tenggara
Meskipun merupakan cawangan yang ke-3 di Malaysia, keluasan IKEA Tebrau adalah jauh lebih besar berbanding cawangan di Damansara dan Cheras. Khabarnya, ia meliputi kawasan tanah sebesar 502,815 kaki persegi!
#2 Perkhidmatan Pengangkutan Ulang-Alik Percuma Disediakan
Bagi pengunjung yang tidak mahu tersekat dalam keadaan trafik yang sesak, anda boleh memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan bas ulang-alik (shuttle) yang disediakan pihak IKEA Tebrau dari Terminal bas Larkin Sentral (***di hadapan Selera Johor) dan Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (***bersebelahan Johor Bahru Sentral) secara percuma!
#3 Berhampiran Dengan Gedung Membeli-Belah Lain
Jika di Cheras, IKEA adalah bersebelahan dengan pusat membeli-belah MyTOWN Shopping Centre manakala cawangan di Damansara pula, pusat membeli-belah yang berhampiran adalah termasuk The Curve dan Ikano Power Centre.
Istimewa di Tebrau Johor, gedung membeli-belah AEON diapit oleh IKEA dan Tesco.
#4 Menyediakan Lebih Banyak Tempat Letak Kereta!
Untuk pengetahuan semua, biarpun IKEA sering menjadi tempat tumpuan ramai, cawangan Tebrau menyediakan hingga 1,771 buah ruangan parkir. Hal ini pasti tidak menjadi masalah bagi pengunjung yang membawa kenderaan sendiri sekaligus memudahkan kerja pengangkutan barang-barang besar yang dibeli.
#5 Menawarkan Lebih 45 Buah Bilik Pameran Inspirasi
Khas buat individu yang gemar mencuci mata mencari idea untuk konsep hiasan dalaman bernas, IKEA Tebrau menyediakan 45 buah bilik pameran berciri moden, sesuai dengan gaya hiasan menikut trend dekorasi terkini.
Dari situ, pengunjung juga berpeluang untuk membuat kira-kira dan perancangan pembelian secara sistematik berpandukan inspirasi yang diketengahkan menerusi bilik pameran yang berkenaan.
#6 Restoran Boleh Muat Hingga 750 Orang
Seperti yang kita tahu, hidangan enak yang disediakan restoran IKEA rata-ratanya mampu milik. Senang kata, memang berbaloi untuk makan hidangan ala Sweden yang bukan sahaja sedap malah berpatutan dan mengenyangkan.
tak perlu risau kerana restoran di IKEA Tebrau menyediakan banyak tempat duduk selesa dan bisa memuatkan hingga 750 pengunjung dalam satu-satu masa. Harap-harap, tak ramai yang perlu beratur panjang semata-mata nak makan meatballs lepas ni!
#7 Susun Atur Dalam Gudang Lebih Kemas & Berkelas
Bagi penulis, susun atur yang ada di gudang IKEA Tebrau kelihatan lebih terurus dan kemas memudahkan lagi para pembeli untuk membuat pemilihan barang.
Kawasan rak juga diatur supaya jarak kedudukannya tidak terlalu rapat antara satu sama lain membuatkan pembeli mudah untuk membuat pilihan, tak perlu berasak-asak dengan pembeli lain dalam satu-satu masa.
Senang kata, memang luas!
#8 Ruang Menunggu Luas & Selesa
Bila IKEA tebrau diiktiraf sebagai cawangan yang terbesar bukan sahaja di dalam negara malah yang paling besar di Asia Tenggara, sudah tentulah fasiliti yang disediakan juga menyelesakan.
Ruangannya cukup besar di mana ibu bapa boleh melepaskan anak-anak untuk berlari dengan bebas bahkan cukup selesa andai ada yang ingin merehatkan diri sebentar setelah seharian membeli di dalam gudang sambil melihat-lihat inspirasi dekorasi yang ada tersedia di bilik pameran.
#9 Kakitangan Yang Ramah & Sangat Membantu
Menurut IKEA Tebrau, mereka mempunyai 300 kakitangan profesional yang sudah dilatih dalam tempoh 14 bulan. Ternyata, segala kesulitan pengunjung sewaktu berada di dalam gedung berkenaan akan lekas diselesaikan dengan adanya bantuan dan bimbingan daripada yang pakar.
Setiap aras dan kawasan mempunyai petugas yang memerhati dan sedia menghulurkan tangan bagi memenuhi keperluan pelanggan.
#10 Cuma 20 Minit Pemanduan Dari Bandar Johor
Tak lama pun, cuma 20 minit daripada kota ibu negara Johor!
Bonus!
Dari 16 November hingga 3 Disember nanti, jangan ketinggalan untuk mendaftar sebagai ahli IKEA FAMILY secara percuma dan berpeluang untuk mendapatkan barangan istimewa pada harga rendah yang menjimatkan! Sementara stok masih ada… ❤️
Untuk keterangan lanjut, sila klik [www.ikea.com/my] atau lawat laman Facebook rasmi IKEA Malaysia di [www.facebook.com/IKEAMalaysia].
Selamat membeli-belah di IKEA Tebrau semuanya!