Kejutan dan rancangan realiti televisyen bagai tidak dapat dipisahkan lagi. Semalam, pelantun lagu popular berjudul “Tak Tercapai Akalmu” itu tampil membuat pengakuan yang mengejutkkan semua, bukan sahaja penonton di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malah netizen yang menonton di rumah dengan kenyataan bahawa beliau sebenarnya sudah tujuh tahun menghidap kanser Limfa.
Sebaik pihak Gegar Vaganza musim ke-4 mengumumkan Elyana adalah peserta yang terkeluar untuk minggu lalu, dia tampil berani untuk akhirnya mendedahkan kisah dirinya yang selama ini menghidap sejenis kanser tahap 4.
Tonton Pengakuan Elyana Menghidap Kanser Limfa Sewaktu Diumum Keluar Dari Gegar Vaganza 4
Siapa sangka disebalik kelincahan dan kecerian yang beliau tampilkan dalam setiap persembahan sepanjang lima minggu dalam Gegar Vaganza 2017, Elyana sebenarnya memendam rahsia sekaligus sedang melawan penyakit pembunuh itu.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Binti Emriza, 30, yang ditemui selepas konsert minggu kelima yang berlangsung di Dewan Sri Putra malam tadi memberitahu,
“Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada peminat, oleh itu secara spontan saya membuat pengumuman mengenai kanser yang saya hidapi. Sudah tujuh tahun saya berjuang dengan kanser Limfoma dan sekarang hanya mampu berdoa kepada Allah selepas puas berikhtiar. Ada satu ketikanya, saya menghilangkan diri kerana berubat, namun kos perubatan kimoterapi memakan sejumlah wang yang besar. Jadi saya memilih untuk menggunakan alternatif lain.“
Elyana disahkan menghidap kanser selepas melahirkan anaknya, Cinta Sumayyah tujuh tahun lalu.
Kanser Limfoma atau lebih mudah disebut Limfa adalah sejenis kondisi barah yang menggangu sistem pertahanan badan berpunca daripada penghasilan sel darah putih secara abnormal, kemudian akan terkumpul dalam nod limfa (lazimnya terletak di bahagian leher, bawah ketiak, celah peha, perut dan dada) sehingga menjadi kanser.