Kawasan tanah yang kecil mungkin tidak menarik perhatian kita di Malaysia namun di Jepun, biar sekecil mana harta yang dimiliki, itu sudah boleh dianggap ganjaran yang cukup besar dan sebaik-baiknya akan digunakan secara menyeluruh.
Ternyata, “Rumah Mikro” yang merupakan gelaran untuk merujuk kepada kediaman bersaiz kecil amat popular di sana. Ramai arkitek di negara matahari terbit itu bijak menggunakan ruang, kemudian tampil dengan rekaan rumah genit tetapi sangat molek umpama rumah milik ‘orang ada-ada’.
Mungkin kerana populasi mereka yang padat menjangkau 127 juta orang direkodkan pada tahun lalu, ditambah pula bebanan kos sara hidup tinggi, rata-rata masyarakatnya menghuni rumah-rumah kecil dan sempit namun itu tidak menghalang mereka untuk hidup secara mewah dalam keadaan minimalis.
Jom Wanista kongsikan foto-foto ilham rumah sempit yang tetap cantik dan kemas meskipun ruangan kecilnya tidak dapat menampung ahli keluarga yang ramai.
Seperti rumah rekaan arkitek Jepun bernama Kota Mizuishi yang terletak berhampiran anak sungai Siginami ini, ia amat terkenal sebagai salah satu binaan popular di Tokyo.
Pemandangan rumah daripada sisi…
Pembinaannya siap pada 2011, kediaman dua tingkat ini hanya meliputi kawasan seluas 595 kaki persegi dan mampu memuatkan keluarga kecil tiga orang termasuk suami, isteri dan seorang anak.
Bentuk rumah mikro yang unik mencerminkan daya kreativiti berkelas milik arkitek Jepun…
Ruang atas digunakan sebagai dapur, tempat makan, ruang tamu serta balkoni.
Pemandangan daripada dapur yang menghala ke arah bilik anak di bahagian loteng serta ruang tamu di bawahnya…
Manakala bahagian lotengnya pula dijadikan kamar untuk anak yang kemudian boleh diubah suai apabila anak itu semakin membesar kemudian.
Menjadikan loteng sebagai bilik adalah cara ideal mempelbagaikan kegunaan ruang dalam rumah yang terhad…
Kamar beradu untuk anak ini adalah berkonsep terbuka dan boleh diakses melalui tangga yang disediakan di sebuah penjuru tidak berpintu. Ianya dikelillingi dinding yang dilengkapi sebuah tingkap gergasi untuk pencahayaan strategik serta penghadang besi ringkas yang membolehkan penghuni meninjau ke bawah melihat ke arah dapur.
Ruang tingkat bawah yang berhampiran pintu masuk utama menempatkan perkakas bilik tidur si ibu dan bapa sambil dilengkapi bilik mandi dan tandas untuk kegunaan harian.
Bilik utama di tingkat bawah memuatkan almari, rak baju, meja kerja, dan katil…
Tangga menuju ke tingkat atas yang membawa ke arah ruang tamu, dapur dan tempat makan…
Comel dan nampak moden kan rumah begini? Jadi kalau berduit lebih tu, ada baiknya korang beli tanah dan bina rumah mikro sebegini. Untung-untung kalau tak mahu tinggal di situ pun, boleh buat duit dengan menjadikannya sebagai rumah persinggahan (homestay) yang disewakan kepada orang!
Ini barulah, “Don’t judge a book by its cover”. ❤️