Saintis baru-baru ini mengumumkan penemuan spesis dinosaur unik yang pernah hidup di Mongolia sekitar 75 juta tahun dahulu.
Spesis dinosaur bersaiz ayam belanda itu katanya adalah sejenis makhluk seperti burung, mempunyai leher dan kaki panjang mirip seekor angsa, berlengan leper seperti itik namun kuku dan jari-jemarinya umpama milik dinosaur jenis raptor. Menurut sumber, ia hidup di sungai dan tasik.
Kajian yang dilakukan pakar Andrea Cau, seorang ahli paleontologi di Capellini Geological Meseum daerah Bologna, Itali, berkata, dinosaur berkenaan yang diberikan nama saitifik sebagai “Halszkaraptor Escuillinei” adalah haiwan purba yang berjalan menggunakan dua kaki di darat dan posisi tubuhnya adalah sama seperti burung unta.
Andrea juga berpendapat bahawa ia sering menghabiskan banyak masa untuk hidup di dalam air berbanding di darat malah menggunakan kelebihan leher yang panjang untuk menangkap ikan-ikan kecil, serangga, moluska dan krustasea.
“Ternyata, ini adalah penemuan dinosaur paling hebat kerana ia merangkumi ciri-ciri campuran antara kumpulan dinosaur yang berlainan,” jelas Andrea.
“Ia kelihatan seperti campuran dinosaur jenis Velociraptor dengan angsa,” tambahnya.
Umumnya, gaya hidup dinosaur yang gemar menghabiskan masa di dalam air adalah jarang didengar kerana rata-rata dinosaur hidup di daratan.
Pada asalnya, sebuah fosil yang ditemui di selatan Mongolia telah dijual kepada seorang pengumpul fosil-fosil purba. Kemudian hal itu disedari seorang peniaga barangan purba dari Perancis, Francois Escullie, yang kemudian bertindak menyerahkan fosil itu kepada pengkaji.
Saintis telah menggunakan beberapa kaedah pengimbasan yang menampakkan keadaan tulang sebenar makhluk berkenaan. Sehubungan itu, mereka percaya bahawa Halszkaraptor adalah dinosaur berketurunan burung yang ditumbuhi bulu.
“Halszkaraptor boleh berlari seperti dinosaur lain dan menggunakan taktik ‘serangan hendap’ ketika memburu makanannya sekaligus menggunakan leher panjangnya untuk menangkap mangsa sepantas kilat.”
Nama Halszkaraptor Escuillinei dicipta menggunakan gabungan nama orang pertama yang menyedari fosil berkenaan iaitu “Escullie” serta seorang pakar dinosaur terkemuka, Halszka Osmolska.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal Nature.
SUMBER -Reuters