Sejak beberapa hari ini isu memboikot produk dan jenama Israel umumnya timbul kembali sebaik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu lepas (6 Disember) tampil membuat keputusan yang kononnya berlandaskan keamanan dengan mengisytiharkan kota lama Baitul Maqdis yang menempatkan Masjid Al-Aqsa (merupakan kiblat pertama bagi orang Islam) kini secara rasminya adalah ibu negara bagi negara Israel.
Ramai individu di seluruh dunia termasuk mereka yang beragama bukan Islam naik berang dengan tindakan melulu tanpa persetujuan dua hala yang dibuat Donald Trump itu termasuklah masyarakat Islam di Malaysia.
Sejak dari itu, ada sahaja keyboard warrior yang mula menunjukkan amarah serta ketidakpuasan hati dengan keputusan itu lalu bertindak menyebar beberapa pendapat yang mengajak semua untuk memboikot produk dan jenama buatan barat termasuklah rangkaian restoran makanan segera popular iaitu McDonald’s.
McDonlad’s Malaysia telah dituduh menyalurkan pembiayaan kepada Israel menerusi tabung induknya yang berpangkalan di Amerika Syarikat namun hal itu dibidas sekeras-kerasnya oleh Pengarah Urusan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, Azmir Jaafar, yang mendakwa andaian yang disebarkan tanpa usul periksa itu adalah palsu dan fitnah semata-mata.
Katanya, dakwaan yang tersebar menerusia media sosial dan aplikasi WhatsApp itu adalah dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Adalah mustahak untuk semua orang tahu bahawa pihak McDonald’s Malaysia yang beroperasi di bawah pemantauan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah 100% dikendalikan sepenuhnya secara persedirian oleh syarikat tempatan.
“Syarikat kita juga memiliki para pemegang saham beragama Islam paling ramai,” tambah Azmir dalam sebuah kenyataan.
Kata Azmir lagi, jika diperhatikan McDonald’s Malaysia sendiri sudah mengelolakan lebih 5,000 aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tahun ini sahaja dengan bertujuan untuk menyebaran kesedaran terhadap masyarakat masyarakat serta membantu mereka yang memerlukan. Kesemua aktiviti kebajikan itu memakan kos lebih RM2.5 juta.
“Sebagai orang Malaysia, kita jelas betapa simpati dan kecewanya perasaan muslimin dan muslimat di seluruh dunia tentang isu ini dan ini adalah masa yang paling tepat untuk kita bersatu teguh menegakkan hak dan kebenaran,” jelas Azmir.